Mula menceburi dunia hiburan sebagai pelakon, populariti Mira Filzah membuka peluang untuk beliau bergelar pengacara pula. Meskipun ia langkah yang agak baik untuk mengukuhkan lagi nama dalam industri hiburan tanah air buat Mira, tetapi ada pula sesetengah pihak tidak berpuas hati dan mendakwa Mira terlalu tamak.
Namun, Mira memberitahu beliau tidak bersifat sebegitu tetapi hanya merebut peluang yang datang.
Saya bukan tamak cuma apabila mendapat peluang tersebut, saya cukup gembira. Mengacara adalah impian saya. Dahulu setiap kali cuti semester saya akan menyertai pertandingan pencarian bakat.
Namun selalunya tidak berjaya. Ketika itu saya anggap belum tiba masanya lagi. Tapi Alhamdulillah… sekarang saya mendapat peluang yang sememangnya tidak disangka-sangka.
Jujur, siapa yang tidak kenal dengan nama Mira Filzah bukan? Beliau mempunyai jumlah peminat yang agak ramai juga diluar sana. Ramai juga yang tertanya bila agaknya Mira akan beraksi di layar perak.
Walaubagaimanapun, Mira akui beliau belum bersedia dan merasa yakin untuk berlakon dalam mana-mana filem.
Tahun lepas saya mendapat beberapa tawaran berlakon filem, cuma saya belum bersedia. Tidak yakin dengan kemampuan diri. Saya akan kutip pengalaman dan belajar lagi supaya lebih yakin. Kalau nak kata saya terlalu selesa berada pada tahap sekarang, mungkin jawapannya tidak.
Peluang tidak datang dua kali dan adalah langkah yang baik untuk Mira merebut apa sahaja tawaran yang ada. Pedulikan apa orang kata, mereka cuma cemburu melihat kejayaan orang lain.