Pelakon jelita, Elisya Sandha memaklumkan bahawa dia ingin fokus kepada hal rumah tangga selain mengakui keadaan kesihatannya kurang baik sejak kebelakangan ini.
Ujar Elisya atau nama sebenarnya Nur Elisya Hassan, 21, dia mengambil keputusan untuk berehat selama sebulan bukan kerana sudah berbadan dua namun ingin mengumpul tenaga sebagai persediaan ke tahun baharu.
Tambah pelakon filem Anak Mami Nasi Kandaq ini lagi, dia juga ada mempunyai perancangan untuk menimang cahaya mata dan mengharapkan doa-doa yang baik daripada peminat.
Sekarang ini saya masih berehat kerana kurang sihat, jadi saya mengambil tempoh berehat selama satu bulan untuk fokus dengan keluarga saya dan juga keluarga baharu saya.
Tapi bukanlah disebabkan itu (berbadan dua), saya rasa seperti saya penat kerana terlalu banyak bekerja, jadi saya cepat letih. Keluarga juga mengatakan biar saya berehat di rumah sahaja.
Terdahulu, adik kepada aktres Fasha Sandha itu telah mendirikan rumah tangga bersama anak penerbit dan pengarah terkenal Sheila Rusly iaitu Uzair Haqimy pada 21 Ogos lalu.
Pasangan dua sejoli ini baru sahaja mengadakan majlis resepsi sebelah perempuan di Perlis pada 19 Disember.
Perkembangan lain, Elisya memaklumkan bahawa tahun 2022 bakal menjadi tahun yang sibuk dengan penggambaran drama dan turut merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang seni.