Berita tentang pasangan pelakon Beego dan Linda Hashim rujuk kembali sebelum ini telah mengejutkan ramai peminat hiburan tanah air kerana tiada yang pernah tahu tentang perceraian mereka.
Namun, tindakan pasangan itu dipuji ramai kerana tidak menjaja kisah buruk rumah tangga mereka seperti segelintir selebriti lain.
Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 43, akui tidak mensia-siakan peluang diberikan Linda dan kini mereka berjaya menyelamatkan perkahwinan yang hampir musnah Mac lalu.
Kata aktor tersebut persefahaman di antara mereka berdua merupakan punca utama rumah tangga itu kembali pulih meskipun sudah berada dalam fasa perceraian.
Apabila dalam keberantakan, saya menjauhkan diri manakala Linda tidak ke mana-mana. Jadi, dia minta saya untuk kembali waktu itu.
Masalah utama perkahwinan goyah
Tambah Beego, Linda ada mengucapkan sesuatu kepadanya dan ia membuatkan dia sedar untuk beri peluang kepada perkahwinan mereka.
Beego turut berkongsi bahawa perkahwinan itu goyah bukanlah disebabkan kehadiran orang ketiga atau masalah kewangan namun sebenarnya adalah komunikasi.
Bukan isu siapa menang, kalah atau ego. Satu dekad pertama adalah cabaran dan Alhamdulillah kami lalui bersama, macam Linda cakap bukan orang ketiga atau masalah kewangan, mungkin ada benda terpendam.
Selepas bermuhasabah diri, kedua-dua mereka mengalah dan tolak ego serta memberikan peluang kedua kepada masing-masing.
Beego dan Linda berkahwin pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata perempuan Jelita Clarissa, Anggun Cassandra dan Indah Camelia masing-masing berusia 9, 8 dan 4 tahun.