Berbelanja Perlu “Ukur Baju Di Badan Sendiri”, Jika Tak Nak Diisytihar Muflis

Trending

Berbelanja Perlu “Ukur Baju Di Badan Sendiri”, Jika Tak Nak Diisytihar Muflis

muflis

Jika anda baru berusia 30 tahun, tetapi kerana mengejar gaya hidup mewah dan cuai dalam menguruskan kewangan, anda bakal diisytihar muflis.

Advertisement

Adakah anda tahu betapa peritnya melalui era muflis itu? Menurut seorang rakan, anda tidak boleh membawa melebihi sejumlah wang tertentu jika sudah diisytihar muflis. Tak boleh keluar negara, memiliki pekerjaan, memiliki akaun bank, harta, kenderaan…. segala impian anda untuk hidup seperti orang lain, musnah!

Kehidupan seorang yang diisytihar muflis jauh lebih sukar dan setiap pelepasan harus melalui pihak berkuasa yang berwajib, dan ia bukan satu prosedur yang mudah. Bahkan dalam beberapa kes, anda juga boleh dipenjarakan jika gagal membayar hutang atau bersembunyi.

Bagaimanapun, pada kebanyakan masa, kerajaan bersama beberapa agensi masih memberikan anda ruang untuk kembali menjalani kehidupan ‘normal’ melalui tawaran bantuan dengan syarat-syarat tertentu. Apakah tawaran yang disediakan, anda kena rujuk Jabatan Insolvensi dan AKPK. Mereka sedia bantu pada bila-bila masa.

Kepada yang tidak muflis tetapi ingin tahu cara mengawal kewangan dengan berkesan, anda juga dialu-alukan mendapatkan khidmat nasihat mereka.

Menurut statistik Jabatan Insolvensi Malaysia, pada tahun 2014 sahaja seramai 23,351 orang diisytihar muflis.

Angka ini agak ‘bahaya’ kerana semakin ramai orang khususnya golongan muda yang berada di atas pagar dan bila-bila sahaja boleh terjerumus muflis.

Malah, statistik menunjukkan kenaikan isytihar muflis mendadak sepanjang empat tahun yang sebelumnya iaitu 18,119 (2010), 19,167 (2011), 19,575 (2012) dan 18,179 (2014).

Menariknya, statistik mendedahkan sewa beli kenderaan sebagai punca utama yang menjerumuskan seseorang menjadi muflis iaitu melibatkan 6,802 orang!

Ini diikuti pinjaman peribadi (4,906), pinjaman perumahan (3,880), pinjaman perniagaan (2,150) dan selebihnya ialah hutang kad kredit, penjamin sosial, penjamin korporat, keberhutangan yang lain, hutang cukai pendapatan serta biasiswa atau pinjaman pelajaran.

Dalam satu laporan berita sebelum ini, Ketua Jabatan Pendidikan Kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohd Adnan Anan Abdullah pernah berkata, perjanjian sewa beli kenderaan tertakluk kepada Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010) berbeza dengan hutang lain, yang juga antara penyebab utama kepada peningkatan golongan muflis.

“Kalau seseorang tak bayar ansuran dua bulan berturut-turut, dia disifatkan telah ingkar dan notis pertama akan keluar. Jika dalam tempoh dua minggu selepas itu hutang tidak dibayar maka kereta boleh ditarik dan dilelong,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan gaya hidup di luar kemampuan seperti membeli kenderaan mewah dan menjual kenderaan menggunakan kaedah ‘sambung bayar’ juga antara punca peningkatan jumlah golongan muflis.

Dari segi pinjaman peribadi pula, ia dikaitkan dengan pelbagai hutang yang lain bak kata, gali lubang tutup lubang.

“Apabila hutang kad kredit meningkat, ada pula yang buat pinjaman peribadi ekspres yang mempunyai kadar faedah tinggi untuk selesaikan hutang kad kredit. Inilah yang dikatakan ‘gali lubang tutup lubang’ yang akhirnya tiada kesudahan,” katanya Adnan, seperti yang dipetik daripada agensi berita tempatan.

Walhal tidak dinafikan godaan kad kredit yang diguna tanpa kawalan dan akhirnya hilang kira-kira senantiasa menjadi kebimbangan dalam senarai punca muflis.

Kira-kira empat peratus rakyat di negara kita didapati muflis antara 2007 hingga 2013 akibat gagal menjelaskan hutang kad kredit sahaja. Juga difahamkan lebih kurang 80 % pengguna kad kredit di negara kita mempunyai pendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan, dan daripada jumlah itu, separuh daripadanya adalah berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan. Mengejutkan bukan?

Selain peningkatan dari segi hutang, jumlah pemohon kad kredit juga dikatakan semakin hari semakin ramai iaitu seramai 2.3 hingga 2.8 juta telah membuat permohonan antara 2010 hingga 2014 dan jumlah ini meningkat kepada 3.8 juta pada tahun lalu.

Berhati-hati dan fikirlah masak-masak sebelum buat permohonan untuk kad kredit!

Daripada segi pecahan umur, golongan yang paling ramai muflis terdiri daripada mereka yang berada dalam fasa memulakan hidup atau fasa di mana mereka sepatutnya stabil dalam kewangan. Ya, mereka adalah daripada golongan usia 35 hingga 44 tahun (7,641 orang) diikuti 45 hingga 54 tahun (6,223 orang).

Selebihnya adalah golongan yang masih muda iaitu usia 25 hingga 35 tahun (4,822 orang), 55 tahun ke atas (2,867 orang) dan segelintir kecil daripada mereka yang berusia di bawah 25 tahun (635 orang).

Daripada segi kupasan pekerjaan, mereka yang terjerat dalam kemuflisan rata-rata terdiri daripada pekerja sektor swasta (13,595 orang) diikuti beniaga (2018 orang), sektor awam (606 orang), bekerja sendiri (184 orang), professional (163 orang), tidak bekerja (52 orang), pesara kerajaan (48 orang), pelajar (seorang), ahli sukan (seorang) dan daripada sektor hiburan (7 orang).

Muflis sememangnya sesuatu yang boleh ‘membunuh’ keselesaan dan nikmat hidup kita. Oleh itu, berhati-hatilah sepanjang berbelanja dan sediakan diri dengan ilmu kawalan perbelanjaan serta kewangan yang baik.

Bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri.

Sumber : FMT

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...