Jika anda menggemarkan aktiviti lasak seperti memanjat gunung, pastinya Gunung Kinabalu di Sabah antara ‘wishlist’ yang mesti didaki dan ditunaikan oleh setiap orang.
Dalam sebuah perkongsian ini di TikTok ini, seorang ‘porter’ di Gunung Kinabalu iaitu @jyvmius97_aolm sering berkongsi realiti kehidupannya bergelar malin gunung dan menawarkan khidmat membawa barangan pendaki dari titik mula ke base camp Panalaban (Laban Rata).
Perjalanan sejauh 6 kilometer itu menurut lelaki itu hanya menelan kos sebanyak RM5 untuk setiap 1 kilogram berat beban muatan.
Manakala bagi tempoh pendakian, ia mengambil masa selama 4 jam untuk naik dan 3 jam untuk turut.
Sentiasa bersemangat melakukan pekerjaan itu, netizen walau bagaimanapun merasakan kadar upah yang dikenakan jyv tidak berbaloi dan sangat murah.
Netizen juga berharap agar ‘porter’ yang berkhidmat di Gunung Kinabalu itu menaikkan harga kadar upah kerana bukan mudah untuk mengangkat barang yang berat ketika mendaki gunung.
Dalam pada itu, diharap para pendaki tidak terlalu ‘kedekut’ memberi upah yang setimpal kerana ia ternyata memerlukan kekuatan fizikal dan mental ketika melakukan aktiviti lasak yang melibatkan nyawa.