Selepas pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) episod ketiga ditunda Ahad lalu, penyanyi serba boleh, Nabila Razali khabarnya telah bersedia untuk bertanding dan menyanyikan sendiri lagu popularnya iaitu Peluang Kedua.
Meskipun begitu, menurut pengurusnya, Mohd. Asrul Abdul Talib, ia bergantung kepada tahap kesihatan penyanyi itu sendiri.
“Kita akan melihat keadaan kesihatannya pada masa itu. Jika pulih sepenuhnya, besar kemungkinan Nabila sendiri akan buat persembahan. Sejak awal lagi, dia mahu menyanyikan sendiri lagu berkenaan, tapi masalah kesihatannya yang agak serius membuatkan pengurusan ambil keputusan supaya dia menarik diri,”
Laporan Kosmo! mendedahkan, Nabila kini masih dalam proses untuk pulih sepenuhnya.
Ujar Asrul lagi, penarikan diri sebelum ini adalah saranan daripada guru vokal Datuk Syafinaz Selamat dan juga doktor pakar.
“Nabila tarik diri bukan suka-suka. Dia mendapat saranan daripada guru vokal seperti Datuk Syafinaz Selamat dan juga doktor pakar agar menarik diri daripada bertanding. Nabila masih mengalami masalah nodules iaitu sejenis penyakit berkaitan pita suara. Sekarang masih ada bengkak pada bahagian tekak namun beransur pulih.”
Terdahulu, Nabila yang sebelum ini sering dikecam bersuara sumbang menggemparkan Malaysia apabila beliau difahamkan bertindak menarik diri dari SFMM35 yang sepatutnya berlangsung Ahad lalu atas faktor kesihatan.
Namun segalanya kini seakan berubah apabila, episod ketiga pentas SFMM35 ditunda gara-gara penyanyi Alif Satar yang bertanding pada Jumaat lalu disahkan positif Covid-19.
Rentetan itu, ramai dalam kalangan peminat Nabila tampil mendoakan dan berharap agar segera sembuh dan berpeluang menyanyikan sendiri lagu ciptaan Ezra Kong dan MFMF itu.
Sumber: Kosmo!