Penyanyi dan komposer terkenal, Ajai memaklumkan bahawa beliau tidak dapat membuat penampilan dalam konsert For You Nourul yang dijadualkan berlangsung pada Mei ini berikutan komitmen sedia ada yang tidak dapat dielakkan.
Menurut Ajai walaupun tidak dapat bersama pada konsert tersebut, beliau tidak menolak kemungkinan untuk kembali berkolaborasi dengan bekas isterinya, Nourul Depp pada masa akan datang, termasuk mengadakan konsert bersama sekiranya diberi peluang.
Kekangan Jadual Jadi Halangan
Ajai menjelaskan bahawa pihak Nourul ada menghubunginya untuk terlibat dalam konsert berkenaan, namun jadual kerja yang padat menjadi penghalang utama.
“Saya tak dapat tampilkan diri sebab ada komitmen-komitmen yang saya tak boleh elakkan. Selepas itu, mungkin kalau ada rezeki lain, mana tahu satu hari kalau boleh ada Ajai dan Nourul punya konsert, dan saya rasa itu lebih afdal.”
“Nourul ada call juga, cuma saya tak dapat join konsert itu. Sebab saya pun sekarang tengah sibuk dengan konsert Exists.”
“Sebagaimana kita tahu nanti kita pada bulan Ogos dan juga bulan Oktober, ada Exists Reunion kan? Ada benda-benda yang saya dah terikat.”
Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis rumah terbuka Usanita yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur.
Isu Lama Sudah Berlalu
Mengulas lanjut, pelantun lagu Bisikan Asmara itu menegaskan bahawa segala isu lama antara dirinya dan Nourul telah pun berakhir, dan kedua-duanya kini sudah meneruskan kehidupan masing-masing.
“Saya memang terbuka untuk lakukan konsert bersama. Sebab pada saya, masalah lepas dah lepas, kan?”
“Semua pun dah move on. Saya rasa untuk bagi komitmen pun saya tidak ada masalah, cuma saya tak dapat bagi pasal ada hal lain yang saya terikat”
Doakan Kejayaan Konsert Nourul
Dalam masa sama, Ajai turut mendoakan agar konsert Nourul berjalan lancar dan menyifatkan kemunculan semula penyanyi itu sebagai satu perkembangan positif dalam industri.
“Saya harapkan yang terbaik untuk konsert For You Nourul nanti.Bila dia buat comeback ini, sebenarnya adalah petanda baik.”
Pada saya peminat dia masih ada lagi, dan lagu-lagu dia juga banyak juga yang hits. Sebelum kami berduet pun, ada beberapa lagu Nourul yang hits juga.”
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
