Pelakon dan penyanyi jelita, Erra Fazira sebelum ini pernah bertegas tidak akan membenarkan anak tunggalnya, Engku Aleesya untuk bergelar pelakon dan penggiat industri seni.
Namun begitu, Erra kini lebih terbuka dalam mendidik permata hatinya itu dalam membuat keputusan mengenai masa depan terutama membabitkan kerjaya dan karier.
Tambah Erra, dia tidak mahu anaknya itu terbeban dengan kemahuan dirinya sebagai ibu.
Apa yang Aleesya minat atau suka sama ada mahu menjadi anggota pasukan keselamatan seperti polis pun tetap akan saya berikan sokongan. Malah, jika Aleesya ingin menceburi dunia hiburan sekali pun saya tetap bagi dorongan kerana saya juga pernah melalui usia yang remaja yang berdepan pelbagai cabaran terutama dalam membuat pilihan kerjaya.
Erra berkata demikian ketika sesi temu bual bersama barisan pelakon drama bersiri Gerak Khas Undercover yang bakal disiarkan menerusi saluran TV3 bermula 1 Oktober ini jam 10.30 malam nanti.
Dalam pada itu, primadona negara ini juga ada bertanyakan pendapat dan keizinan bapa Aleeysa, Engku Emran mengenai hal tersebut.
Jelas pelakon filem Maria Mariana ini, kebenaran untuk Aleesya berlakon itu semua bergantung kepada persepakatan antara mereka berdua.
Persetujuan serta restu Engku Emran juga amat penting, Apa pun pertimbangan nanti, saya dan ayahnya perlu sependapat. Saya okey saja, kena tunggu kebenaran Engku Emran kerana selama ini pun apa-apa membabitkan Aleeysa, kami akan berbincang.
Sekadar info, Erra Fazira telah mendirikan rumah tangga bersama Engku Emran pada 25 Oktober 2007 namun bercerai setelah tujuh tahun berumah tangga.
Pasangan itu kemudian bercerai pada 18 Februari 2014 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Engku Aleesya yang kini berusia 12 tahun.
Jangan lupa ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.