Sekitar Mac lepas, seorang wanita telah memuat naik satu status di Facebook mengenai pengalamannya mendapat suntikan epidural sebagai penahan sakit ketika melahirkan bayi.
Perkongsian wanita bernama Azzatie Intan Suraya itu mendapat lebih dari 11,000 shares di Facebook, dan ramai menceritakan pengalaman mereka setelah disuntik epidural untuk tahan sakit melahirkan anak, dan kebanyakannya ialah pengalaman yang negatif.
Tidak dinafikan, membaca pengalaman Azzatie akan menyababkan ramai yang takut untuk menggunakan epidural dan menolak penggunaannya. Bagaimanapun, seorang pengamal perubatan telah menulis satu artikel untuk memberi penerangan mengenai epidural dan mitos yang menyelubungi penggunaanya. Ikuti penerangan dari Dr. Hana Hadzrami di akaun Facebook miliknya:
Terbaru viral ialah perkongsian pengalaman seorang ibu melalui pembedahan caesarean dengan epidural anaesthesia. Boleh digambarkan betapa tersiksanya beliau dicucuk epidural, disumbat dengan tiub kencing, disiat hidup-hidup dan hingga sekarang menderita sakit ditempat luka pembedahan dan sakit belakang.
Kejam sungguh doktor ya. Gelojoh sungguh nak menyelamatkan nyawa ibu dan anak yang lemas.
Selepas bersalin dicabut tiub kencing dan dipaksa berjalan pula.
Kacau daun betul doktor ya. Sibuk nak mencegah darah beku daripada masuk ke jantung dan paru-paru yang boleh membawa maut.
****
Epidural adalah cara pembiusan yang boleh digunakan sebagai penahan sakit selepas bedah ataupun sebagai cara pembiusan utama sewaktu pembedahan. Epidural juga sangat popular sebagai penahan sakit sewaktu kelahiran normal.
Jarum yang digunakan memanglah besar, iaitu sepanjang 8cm; namun ianya bukan dibenamkan selama-lamanya dalam tulang belakang pesakit. Ia hanya digunakan untuk mengesan ruang epidural supaya tiub halus yang disambungkan kepada ubat bius setempat (local anaesthetic) boleh diletakkan. Dah jumpa ruang epidural maka jarum itu pun dibuang.
Proses meletakkan tiub epidural selalunya mudah saja. Namun bagi pesakit obes atau yang bertulang belakang kurang fleksibel ianya boleh menjadi sukar dan memerlukan beberapa kali cubaan. Kerap kali sakit belakang selepas epidural dikaitkan dengan cubaan pemasangan epidural yang lama.
****
Namun benarkah epidural penyebab sakit belakang?
Sakit belakang bukanlah penyakit yang jarang terjadi, malah terlalu ramai orang ada sakit belakang; tak kira jantina, tak kira pernah mendapat epidural atau tidak.
Dilaporkan bahawa hampir 25% ibu mengandung akan menghidapi sakit belakang sehingga 6 minggu selepas bersalin (1). Terdapat banyak kajian membandingkan ibu mengandung yang mendapat epidural dengan yang tak diberi epidural (hanya suntikan Pethidine sebagai penahan sakit) menunjukkan peratusan insiden sakit belakang yang sama dalam kedua-dua kumpulan (2). Kajian menunjukkan bahawa tiada perbezaan dalam insiden sakit belakang selepas bersalin diantara kumpulan ibu yang tak mendapat epidural dan ibu yang mendapat epidural pada hari pertama dan hari ketujuh selepas kelahiran. Namun 3 bulan selepas bersalin, ibu yang tak mendapat epidural pula lebih ramai yang masih sakit belakang berbanding yang mendapat epidural (3).
****
Sewaktu mengandung, perubahan hormon menyebabkan ligamen tulang termasuk ligamen di pelvis menjadi longgar dan memudahkan kecederaan terjadi kepada ibu. Bayi dan rahim yang membesar boleh menekan saraf-saraf dalam rongga pelvis menyebabkan sakit belakang. Kandungan yang besar dan perubahan hormon juga menyebabkan perubahan kepada struktur tulang belakang (lebih melentik; lumbar lordosis) bagi menstabilkan pusat graviti ibu; malah proses tulang belakang untuk kembali ke kedudukan asal selepas bersalin itulah yang menyebabkan sakit belakang.
Sakit belakang yang non-traumatic antaranya disebabkan postur badan yang tak betul (jalan dan duduk membongkok), kurangnya senaman (tulang belakang jadi keras dan tak fleksibel), otot perut dan belakang (core muscles) yang lemah, cara kerja yang tertumpu kepada satu posisi (duduk lama di pejabat) dan cara mengangkat barang berat yang tak betul. Ada juga pesakit yang dilahirkan dengan tulang belakang yang tak normal (scoliosis) maka lebih kerap sakit belakang.
****
Tak adil sebenarnya mengatakan epidural penyebab sakit belakang kerana bukan ibu mengandung saja yang mendapat epidural malahan pesakit-pesakit yang menjalani pembedahan tak kira lelaki atau perempuan. Ramai sebenarnya yang amat berpuas hati dengan epidural. Ada pesakit yang sanggup bersusah payah mencari hospital yang ada pakar bius yang boleh menawarkan khidmat epidural untuk pembedahannya.
Cuba tanyakan ibu-ibu yang melalui pembedahan caesarean secara bius tidur tanpa mendapat epidural tentang kesakitan yang dialami selepas bersalin. Barulah anda bersyukur bahawa sakit anda tak berlipat kali ganda seperti yang mereka alami.
Saya sendiri bersalin 2 kali tanpa epidural dan 3 kali dengan epidural; saya sangat bersyukur dengan adanya ilmu penahan sakit yang diajarkan oleh Tuhan kepada manusia, maka dapat saya bersalin dengan selesa tanpa dapat sakit belakang.
Tak mahu epidural? Tak mengapa, itu pilihan, bukan paksaan.
****
Rujukan:
1. MacArthur C, Lewis M, Knox EG, Crawford JS. Epidural anaesthesia and long term backache after childbirth. Br Med J, 1990;301:9-12.
2. http://bja.oxfordjournals.org/content/89/3/466.full.pdf
3. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4050929/
Apa pun, setiap rawatan ada pro dan kontranya. Semoga penerangan ini telah memperjelaskan mengenai penggunaan epidural sewaktu bersalin. Jangan takut dengan epidural. Bak kata doktor, kita diberi ilmu haq oleh yang maha kuasa untuk memudahkan kerja dan proses, tidak salah menggunakannya sebagai satu tanda kesyukuran kepada ilahi.
Sumber: Dr. Hana Hadzrami