Benarkah ‘Bitcoint’ Berisiko Dimanipulasi Dan Diguna Dalam Penggubahan Wang Haram

Trending

Benarkah ‘Bitcoint’ Berisiko Dimanipulasi Dan Diguna Dalam Penggubahan Wang Haram

Saya perlu membincangkan perkara-perkara yang ada di sekitar Bitcoin sebelum saya membincangkan berkenaan konsep Bitcoin secara langsung.

Advertisement

Ini adalah penting supaya kita tidak melihatnya di dalam konteks yang terlalu teknikal dan sempit dan terlepas pandang realiti yang menghidupkan “matawang” ini.

Bitcoin Dari Segi Teknologi

Ramai orang sepakat bahawa teknologi Blockchain yang menggunakan kaedah Distributed Ledger adalah satu sistem yang tidak dikawal oleh pihak tertentu dna susah untuk digodam.

Sebenarnya Blockchain ini boleh digunakan di dalam pelbagai kegunaan kerana ia menyimpan rekod transaksi secara berangkai dan tersimpan di dalam komputer-komputer yang bertaburan di muka bumi ini.

Bitcoin wujud di atas teknologi Blockchain menyebabkan ianya stabil dan susah digodam. Setakat ini, pencerobohan yang berlaku ialah ke atas platfom yang memperdagangkan Bitcoin, bukan Bitcoin itu sendiri.

Berbeza dengan emas dan perak yang merupakan logam yang unsurnya boleh dipegang.

Bitcoin wujud secara maya berdasarkan teknologi yang sedia ada. Tidak ada siapa yang boleh meramalkan apa yang akan terjadi kepada konsep ini di masa hadapan.

Bitcoin Matawang Ataupun Produk Pelaburan?

Proses financialisation yang dibantu oleh teknologi boleh menjadikan apa saja di dunia ini sebagai produk pelaburan.

Kalau kita ingat cerita enron, sebuah syarikat yang bernilai berbilion yang akhirnya bungkus, mereka memperdagangkan penjanaan elektrik. Mereka membuat duit yang banyak dari usaha ini sehinggalah buih (bubble) ini meletup.

Saya bersetuju asalnya Bitcoin direkacipta seumpama matawang.

Namun jika kita memerhatikan gelagat Bitcoin di kebelakangan ini, orang membelinya bukan untuk digunakan bagi membayar ikan dan sayur tetapi kerana mereka menjangka nilainya akan terus meningkat.

Bitcoin sudah menjadi produk pelaburan (investment product) dan sudah dijadikan komoditi (commoditisation). Ini dibuktikan bila Cboe Global Market dan CME Group akan melancarkan kontrak hadapan Bitcoin minggu depan. Jadi sekarang Bitcoin dijualbeli di atas dirinya sendiri, bukan kerana fungsinya sebagai matawang.

Tindakan agensi kawalselia di kebanyakan negara yang mengira Bitcoin sebagai produk pelaburan dan mahu menguatkuasakan undang-undang anti-peggubahan wang haram ke atas platfom yang memperdagangkannya menunjukkan ada risiko ke atas pelabur dan sistem kewangan jika Bitcoin tidak diselia.

Dari mana datangnya nilai Bitcoin?

Di dalam pasaran kewangan, ada dua unsur besar yang menjadikan mana-mana produk pelaburan bernilai. Yang pertama ialah kepercayaan dan keyakinan (trust and confidence).

Ternyata dengan teknologi ynag boleh bertahan setakat ini, kepercayaan dan keyakinan ke atas Bitcoin di kalangan pelaburnya adalah tinggi.

Faktor yang kedua ialah ketamakan (greed).

Inilah yang menjadikan ekonomi dunia rancak di awal tahun 2000 sebelum krisis ekonomi berlaku di dalam tahun 2007/2008 yang menyebabkan banyak syarikat besar di dunia lingkup.

Mereka membeli dan menjual pelbagai produk pelaburan yang kompleks seperti Credit Default Swap (CDS) dan juga aset sintetik seperti hutang yang menggabungkan pelbagai kelas peminjam perumahan dengan mendapat pengiktirafan dari syarikat penarafan antarabangsa (sub-prime loans atau hutang sub-prima).

Berbeza dengan CDS dan sub-prime loans yang mana aset yang membentuk mereka ada jangka hayat tertentu, Bitcoin tidak ada jangka hayat kerana ianya dibentuk sebagai matawang.

Dari segi konsep, ternyata risiko Bitcoin lebih tinggi dari CDS dan pinjaman sub-prima kerana kedua-dua aset ini masih ada rujukan nilainya. Nilai Bitcoin hanyalah dan semata-mata kepercayaan yang dipengaruhi oleh ketamakan.

Bitcoin Boleh Dimanipulasi Dan Diguna Untuk Menggubah Wang Haram?

YA!

Walaupun Bitcoin diperdagangkan secara terbuka namun siapa yang memilikinya tidak diketahui.

Ini adalah lubang besar yang boleh digunakan untuk memanipulasi harga kerana seseorang itu boleh menjadi penjual dan pembeli yang aktif sehinggalah harganya meroket.

Ketika itu dia kan menjual kepada orang yang membeli yang beranggapan nilai tersebut adalah nilai pasaran yang adil (fair value).

Bagi penggubah wang haram yang merupakan penjenayah, mereka boleh memindahkan aset mereka dengan senang kerana nilai Bitcoin yang tinggi dan ada pasaran yang aktif.

Mungkin dengan sebab ini, mereka tidak lagi memerlukan gading gajah atau lukisan yang mahal seperti yang mereka guna sekarang.

Pelbagai Pandangan Ke Atas Bitcoin?

Saya nampak ramai yang menilai Bitcoin hanya berdasarkan kepada konsepnya saja sebagai matawang crypto. Saya akui konsepnya bagus dan teknologinya sudah terbukti selamat, setakat ini.

Namun, bila faktor-faktor lain diambilkira, ramai juga orang yang nampak risikonya.

Agensi kawalselia biasanya menilai sesuatu perkara berdasarkan kepentingan awam.

Jika satu skim pelaburan atau aset itu kompleks dan susah untuk difahami oleh orang awam yang kurang pendedahan mereka kepada risiko pelaburan, agensi kawalselia berkenaan akan menghadkan skim atau set tersebut atau menghalangnya sama sekali.

Tidak ramai dari kita yang ada pengalaman dari segi kawalselia. Sebab itulah analisa terhad kepada konsep dan penggunaan Bitcoin sahaja.

Pandangan saya?

Walaupun Bitcoin ada kebaikkannya, saya sebagai seorang pelabur tidak akan mengambil risiko dengan Bitcoin kerana terdapat banyak keraguan dan ianya boleh dimanipulasi dan disalah guna.

Ini pandangan sayalah, jangan marah jika tidak kena dengan pandangan tuan-tuan.

Namun, tentunya ada orang yang selera risikonya (risk-apppetite) tinggi dan mempunyai poket yang dalam. Bagi mereka Bitcoin merupakan satu judi (gamble) yang berbaloi.

Sumber : Nik Hasyudeen

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...