Benarkah Anak Anda Tergolong Dalam Golongan Indigo? Cuba Semak Ciri-Ciri Ini

Trending

Benarkah Anak Anda Tergolong Dalam Golongan Indigo? Cuba Semak Ciri-Ciri Ini

Konsep kanak-kanak indigo diperkenalkan oleh Nancy Ann Tappe pada tahun 70-an yang mengemukakan teori bahawa sebahagian manusia dilahirkan dengan aura indigo yang membuatkan mereka berbeza daripada manusia lain.

Advertisement

Menurutnya lagi, aura yang dikuasai oleh warna indigo (warna indigo adalah warna antara warna biru dan ungu) ini adalah hasil pancaran daripada third eye chakra.

Pendapat dan kajian ini berikutnya telah disambung oleh Jan Tobber dan Lee Carroll sehingga kemuncaknya dapat dilihat apada awal 90-an dengan penghasilan buku-buku serta filem yang berkaitan dengan kanak-kanak Indigo ini.

Apakah Kanak-kanak Indigo?

Kanak-kanak indigo ini dikatakan mempunyai kebolehan untuk mengubah dunia menjadi tempat yang lebih baik untuk didiami oleh manusia khususnya.

Pelbagai interpretasi yang muncul untuk menggambarkan kanak-kanak indigo ini, sebahagian daripada mereka mempercayai bahawa kanak-kanak ini mempunya kebolehan telepati dan fahaman yang lebih popular adalah kanak-kanak ini mempunyai rasa empati yang lebih tinggi serta lebih kreatif daripada kanak-kanak lain yang seusia dengan mereka.

Ciri-Ciri Anak Indigo

1. Mempunyai rasa empati yang tinggi, sifat ingin tahu yang membuak-buak dan mempunyai keazaman yang sangat kuat.

2. Selalu dianggap pelik oleh rakan-rakan dan ahli keluarga.

3. Mempunyai matlamat yang jelas dan tahu kenapa dia dilahirkan diatas dunia ini.

4. Lebih pandai daripada rakan seusianya.

5. Tidak suka dikawal.

Menurut Nancy Ann Tappe, kanak-kanak indigo ini boleh dibahagikan kepada beberapa personaliti iaitu humanists, artists, conceptualists, dan catalysts. Baik, cuba lihat jika anak-anak anda mewarisi salah satu daripada personaliti ini.

Berperikemanusiaan (Humanists)

Kanak-kanak yang mempunyai personaliti ini akan mengetahui bagaimana caranya untuk memanfaatkan teknologi dalam kehidupan seharian. Mereka akan menggunakan teknologi untuk membina hubungan, membangkitkan kesedaran, melawan ketidakadilan dan menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih kecil.

Mereka mempunyai kebolehan untuk berkomunikasi dengan baik, cepat mesra dengan orang lain dan mampu mengemukakan pendapat tanpa prejudis. Maka mereka menggunakan kebolehan itu untuk menyebarkan idea-idea serta pendapat yang mereka fikirkan betul.

Berpersonaliti humanists membuatkan anak-anak itu secara semulajadinya adalah seorang yang mudah mesra dengan orang lain, kelakar, suka membantu orang lain, disenangi oleh orang lain dan sentiasa bersedia untuk bermain. Oleh sebab itu, kadangkala anak-anak yang berada dalam kategori ini dianggap sebagai hiperaktif.

Mereka tidak pernah menghiraukan status, jantina atau bangsa seseorang dan akan memperlakukan seseorang dengan samarata. Selain itu, mereka juga tergolong dalam golongan mereka yang boleh memahami sesuatu perkara atau ilmu dengan cepat dan disebabkan itu mereka selalu merasa bosan.

Artistik (Artists)

Kanak-kanak yang berada dalam kategori ini suka mencipta sesuatu yang baru, asli daripada pemikiran dan usahanya sendiri. Tetapi tentu sahaja ia memakan masa untuk menghasilkan sesuatu yang baik dan menarik, maka berilah mereka peluang untuk terus berlatih dan jangan pernah berhenti memberi sokongan kepada mereka.

Ciri-ciri ketara yang boleh dilihat dalam peribadi anak-anak ini adalah mereka kadangkala moody tanpa alasan yang jelas, sukar difahami dan lebih suka untuk bersendiri ketika menyiapkan karya seni mereka. Walaubagaimanapun, mereka juga sukakan pujian terhadap hasil kerja yang telah mereka lakukan.

Anak-anak dalam kategori ini kebiasannya adalah perfectionist atau sukakan kesempurnaan. Mereka mempunyai matlamat yang jelas dan diukur dengan pencapaian yang berjaya mereka gapai.

Mereka banyak berangan tetapi ada masanya mereka akan menjadi sangat sensitif dan peka terhadap keadaan sekeliling (aha, ini pasti sebagai inspirasi mereka untuk menghasilkan karya yang baik!). Jangan terkejut, mereka yang berada dalam kategori ini juga suka untuk bersukan atau beriadah dan gemarkan aktiviti-aktiviti outdoor.

Mereka benci didominasi, maka mereka kebiasannya mempunyai masalah dengan sistem disiplin dan peraturan yang dianjurkan di sekolah. Selain itu, mereka juga sukar untuk memaafkan, menerima dan mempercayai seseorang yang pernah menyakiti hati mereka.

Konseptualis (Conceptualists)

Kanak-kanak dalam kategori ini mempunyai banyak persoalan yang bermain dalam fikiran mereka. Mereka bukanlah orang yang mudah menerima sesuatu perkara begitu sahaja, mereka akan sering mempersoalkan sesuatu norma atau kebiasaan yang dilakukan oleh kita.

Mereka sering mengemukakan idea yang lebih baik untuk menyelesaikan sesuatu perkara dengan cara yang lebih mudah dan berkesan daripada cara yang biasa diamalkan. Ini boleh dilihat melalui hasil kerja mereka di sekolah dan apabila mereka membalas persoalan orang lain.

Mereka adalah orang yang tenang, logikal dan sangat bagus dalam hal-hal yang berkaitan dengan teknologi. Subjek kegemaran mereka tentu sekali adalah sains, matematik dan coding! Tetapi, anak-anak dalam kategori ini lebih suka menyendiri dan tidak berapa gemar bersosial dengan orang lain.

Pemangkin (Catalysts)

Tidak ramai dalam kalangan anak-anak mempunyai personaliti ini. Mereka yang tergolong dalam personaliti ini adalah seorang manusia yang amat baik, sangat sensitif dan sangat mudah marah apabila melihat ketidakadilan berlaku dihadapan mereka.

Kebiasannya anak-anak ini bersifat atletik dan gemar bersukan. Mereka mempunyai perasaan ingin tahu membuak-buak dan mempunyai tenaga yang sangat banyak, disebabkan itu tenaga itu perlu dialirkan kepada aktiviti sukan. Mereka sukar untuk membiasakan diri dengan sistem pendidikan di sekolah, dan mereka lebih gemar untuk belajar seorang diri.

Sumber

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...