Selepas lama dihimpit gosip mengatakan rumah tangga mereka sedang retak dan bermasalah, pasangan Bella Dally dan Nazim Othman minggu lalu memaklumkan mereka sudah bercerai selepas mendirikan rumah tangga selama hampir dua tahun lamanya.
Mengakui keputusan untuk berpisah sangat perit baginya, Bella bagaimanapun bersyukur mendapat sokongan semangat daripada keluarga dan rakan yang membuatkan beliau lebih tabah.
Bella mahu “move on” dan enggan mengulas punca beliau bercerai. Baginya, tidak manis untuk berkongsi soal peribadi itu dengan umum.
Saya kena redha, positif dan move on. Saya berusaha cuba untuk tidak memikirkan mengenainya perpisahan ini. Alhamdulillah, saya ada keluarga dan rakan yang tanya khabar serta keadaan saya. Sekarang ini, saya tidak perlu cakap banyak dah. Semua sudah tahu status saya dengan Nazim.
Untuk berkongsi mendalam mengenai puncanya, rasanya tak manis untuk dikongsikan. Cukup setakat apa yang semua sudah maklum.
Bella dan Nazim sepakat untuk mengumumkan penceraian mereka di akaun Instagram masing-masing pada 1 Ramadhan lalu. Berita tersebut bukan sahaja mengejutkan peminat mereka tetapi rakan selebriti juga.