Sudah tiga bulan bercerai, penyanyi dan pelakon, Bella Astillah mengakui dia dan bekas suami, Aliff Aziz masih berhubung antara satu sama lain untuk bertanya khabar. Bagaimanapun, Bella enggan mengulas lanjut mengenai soal mereka bakal rujuk semula.
Saya tak bersedia untuk bercerita mengenai soal dia pujuk bagi rujuk semula disebabkan hal ini privasi. Saya reda dan percaya dengan apa yang terjadi dan bakal terjadi kerana Allah adalah sebaik-baik perancang. Saya hanya menunggu.
Sudah tiga bulan bercerai, saya dan Aliff masih saling menghubungi namun lebih banyak bertanya khabar masing-masing atau anak kami, Ayden. Saya tak nak bermusuh dengan sesiapa.
Bukan mudah sebenarnya untuk kekal tabah dan kuat menempuhi dugaan yang besar dalam hidupnya, namun wanita itu mengakui sudah memaafkan Aliff dan enggan terus dibelenggu rasa sedih dan kecewa.
Saya sentiasa percaya kalau ada jodoh, adalah. Tak kisahlah pasangan yang sudah berpisah berpuluh tahun pun.
Sebenarnya bukan mudah untuk ‘move on’ namun saya memilih untuk memaafkannya. Itulah yang memberi saya kekuatan selain rasa lebih tenang dan tanpa dibelenggu rasa sakit hati atau benci.
Daripada terus bersedih, lebih baik saya gembirakan diri dan fikirkan keluarga serta Ayden. Jikalau bersedih, saya akan terus memandang wajahnya. Sekarang pun jarang ada masa untuk saya bersedih disebabkan sangat sibuk dengan kerja.
Rumah tangga Bella dan Aliff musnah selepas lelaki itu beberapa kali didakwa berlaku curang dengan beberapa orang wanita. Mereka sah bercerai talak satu pada 16 Mei lalu.