Tinjauan oleh Sinar Harian mendapati individu yang menjalani kuarantin di rumah kerana positif COVID-19 ataupun kontak rapat terpaksa membelanjakan wang sekitar RM300 sehingga RM1,000 untuk membeli barangan keperluan diri dan keluarga seperti kit ujian kendiri RTK COVID-19.
Berikutan kewajipan untuk menjalani kuarantin di rumah, mereka terpaksa membuat pesanan makanan melalui aplikasi tempahan makanan atas talian seperti FoodPanda dan GrabFood selain perlu membeli kit ujian pantas (RTK) Antigen, barangan dapur dan juga ubat-ubatan.
Seperti suri rumah yang dikenali sebagai Nor Fizah ini, dia dan suami telah mengeluarkan belanja sekitar RM600 untuk menampung perbelanjaan sepanjang lima hari kuarantin kendiri di rumah.
Katanya, dia bersama suami dan juga empat orang anaknya telah disahkan positif wabak tersebut sekitar bulan Februari lalu dan telah membelanjakan hampir RM200 untuk membeli kit ujian kendiri COVID-19 di farmasi, manakala RM200 algi untuk membuat ujian calitan di klinik.
Untuk makanan, saya dan suami berhabis sebanyak RM200. Jadi secara keseluruhan, kami berbelanja sekitar RM600 sepanjang menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Sementara itu, bagi Ahmad Bazli,21, yang duduk menyewa bersama rakan-rakan, dia telah menghabiskan sebanyak RM100 untuk membeli kit ujian kendiri setelah mendapati dirinya tidak sihat seperti demam dan batuk.
Dia yang mendapat keputusan ujian negatif pada awalnya kemudian positif setelah melakukan ujian secara berkala dan telah diminta menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Memandangkan saya menyewa, jadi kos perbelanjaan seperti makanan, ubat meningkat, secara keseluruhan saya menghabiskan RM300 sepanjang tujuh hari menjalani kuarantin kendiri.
Manakala bagi eksekutif proses Mardiana Tarmizi,27, hampir RM1,000 dibelanjakan untuk menampung perbelanjaan bagi empat orang isi rumah.
Kata Mardiana, dia perlu menyimpan sekurang-kurangnya RM1,000 kerana kos perbelanjaan semasa kuarantin sangat tinggi dan menganggarkan anggaran untuk RTK Antigen sahaja sekitar RM200.
Dia juga menasihatkan agar orang ramai untuk menyimpan wang simpanan kecemasan sebagai persediaan ketika menghadapi wabak COVID-19 yang dilaporkan semakin meningkat dari hari ke hari ini.