Isu pembelian set kain kafan mahal dan berjenama sebagai persediaan kematian kembali mencetuskan perdebatan apabila pengusaha kit kafan, Wan Cai, tampil memberikan pandangan berbeza yang mengundang perhatian ramai.
Menerusi satu respons panjang di ruangan komen, Wan Cai menegaskan bahawa beliau tidak menyarankan pembelian kit kafan untuk disimpan terlalu lama, memandangkan kebanyakan barangan dalam set tersebut mempunyai tarikh luput dan boleh rosak jika tidak digunakan dalam tempoh tertentu.

Menurutnya, kain kafan dan peralatan berkaitan bukan barang permainan yang boleh disimpan bertahun-tahun tanpa risiko. Antara kebimbangan yang dibangkitkan termasuk kain yang boleh bertukar kekuningan atau berkarat, kapur barus serta serbuk cendana yang boleh berbau hapak atau busuk selepas tamat tempoh, selain sabun dan sarung tangan yang juga mempunyai tarikh luput.
Wan Cai turut mempersoalkan kewajaran membeli kit kafan pada harga tinggi jika akhirnya tidak boleh digunakan kerana rosak akibat penyimpanan lama. Malah, beliau mengingatkan bahawa urusan pengurusan jenazah merupakan fardu kifayah yang memerlukan ilmu, bukan sekadar simbol atau trend.
Dalam nada tegas, beliau menyuarakan kebimbangan bahawa terdapat pihak yang menunggang isu kematian demi keuntungan, dengan mempromosikan pembelian kit kafan tanpa memberi penjelasan jelas mengenai aspek penyimpanan, ketahanan dan tarikh luput barangan.
Isu ini timbul selepas sebelum ini tular kisah seorang usahawan yang membeli set kain kafan berjenama dan mahal sebagai persediaan awal menghadapi kematian, yang menerima pelbagai reaksi netizen ada yang menyifatkannya sebagai peringatan kematian, manakala sebahagian lain mempersoalkan kesesuaian dan keperluannya.
Perbincangan tersebut sekali gus membuka ruang kesedaran kepada orang ramai bahawa persediaan kematian bukan sekadar soal memiliki barangan, sebaliknya perlu disertai ilmu, kefahaman dan keutamaan terhadap fungsi sebenar, agar tidak membebankan waris atau menimbulkan mudarat pada jenazah kelak.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
