Seorang komposer merangkap pemain gitar sebuah kumpulan ditahan pihak polis selepas disyaki menyerang jirannya susulan perselisihan faham berkaitan pintu bilik air di sebuah rumah sewa di Pandan Indah, Ampang pada Rabu, memetik Harian Metro.
Menurut sumber, insiden itu berlaku pada 30 Jun lalu apabila mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an, sedang tidur di bilik sewanya sebelum terdengar bunyi pintu bilik air dihempas kuat oleh suspek sekitar jam 6.30 pagi.
Mangsa yang tidak berpuas hati keluar dan menghempas semula pintu itu menyebabkan komposer berusia 46 tahun itu yang menyewa di bilik sebelah mangsa keluar semula.
Mangsa kemudian diserang oleh suspek dengan batang dipercayai pemegang gitar.
Tambah sumber, mangsa yang bekerja sebagai tukang masak mengalami kecederaan di bahagian lengan dan telah menerima rawatan di Hospital Ampang sebelum membuat laporan polis.
“Susulan itu, polis kemudian menahan suspek semalam,” katanya lagi.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.