Tipulah kalau anda kata anda tak pernah buat kerja sambilan untuk mendapatkan duit saku lebih semasa anda belajar di peringkat tinggi.
Begitu juga situasi yang dialami oleh seorang gadis Tajikistan, yang mana dia juga berusaha mencari wang lebih untuk menampung kehidupannya sebagai seorang pelajar di Malaysia, namun kisahnya ini pastinya dapat memberikan inspirasi kepada kita semua.
Tidak Diambil Serius Oleh Ahli Keluarga, Tamiris Buktikan Mereka Salah Menerusi Kejayaannya
Tamiris, atau lebih dikenali sebagai Tommy berasal daripada sebuah negara kecil, Tajikistan telah mula menetap di Malaysia seawal usia 18 tahun untuk sambung belajar ke peringkat sarjana muda.
Gadis itu berkongsi, selain belajar, dia juga berusaha mencari kerja sampingan untuk menampung kewangan ahli keluarganya, dan pekerjaan pertamanya adalah dalam bidang peruncitan di mana dia dibayar RM7 sejam.
Setelah beberapa tahun bekerja di dalam bidang ini, Tommy berkongsi dia mengalami tekanan berterusan serta kurang berehat akibat cuba menyeimbangkan antara kerja dan pelajaran. Dia kemudian memutuskan berhenti kerja untuk cuba sesuatu yang baru.
Dari situ, perjalanan hidupnya mula berubah apabila dia mula menjinakkan diri dalam bidang perniagaan eyelashes. Namun, perniagaannya ini tidak menerima sebarang sokongan daripada ahli keluarganya.
Katanya, ahli keluarganya tidak mengambil serius tentang perniagaannya, kemudian menasihati dan menegaskan agar dia mencari pekerjaan yang betul, kerana pada mata mereka, perniagaan eyelashes Tommy ini bukanlah sebuah kerjaya yang kukuh.
Namun, semasa Tommy berusia 21 tahun, dia mula untuk hidup berdikari sepenuhnya daripada keluarga dan membuat keputusan untuk belajar selama 4 hari, bekerja selama 7 hari seminggu, dan membawa pelanggan selepas kelas dan semasa cuti ke kedainya.
“Adakah saya letih? Ya! Tapi akhirnya saya telah menemui minat saya, dan itulah pembakar semangat saya untuk terus bertahan sehingga sekarang.”
Kerja Keras Membuahkan Hasil, Tommy Menang Pelbagai Pertandingan
Tahun 2020 menjadi salah satu tahun yang paling diingati di mana dia telah memenangi pertandingan eyelashes peringkat antarabangsa buat pertama kali dan dari situ, semangatnya untuk terus berusaha kian membara.
“Sekarang saya mempunyai perniagaan yang saya bina dari awal dan kini saya mempunyai pekerja yang terbaik, hasil didikan saya sendiri dan kami bekerja kuat hingga memenangi tiga pertandingan eyelashes antarabangsa.”
Mengimbas semula perjalanan tujuh tahunnya, dia berasa amat bangga dengan dirinya sendiri di atas segala penat lelah dan kerja kerasnya dalam membina perniagaannya dan mengejar impian.
Jadi, dari kisah si Tommy ni telah membuktikan bahawa segala kerja keras pastinya akan membuahkan hasil. Paling penting, jangan pernah menyerah!