Pelakon Fatin Afeefa semalam dilihat telah memuat beberapa luahan perasaan di Instagram Storynya serta sebuah video yang memaparkan perbualan antara dirinya dan anak perempuan, Ivy Herra Sophia.
Dalam video tersebut, Ivy telah memberitahu bahawa dia tidur sebilik bersama bapanya yang juga pelakon dan bekas suami kepada Fatin iaitu Adam Shahz serta seorang wanita dan satu lagi nama yang turut disebut.
Menggelarkan wanita itu sebagai Auntie Candy, anak perempuannya itu turut ditanya adakah mereka semua tidur sebilik dan Ivy memberi jawapan ‘ya’.
Dalam Story tersebut, Fatin turut menulis beberapa luahan perasaan yang menunjukkan dia berasa marah dengan apa yang terjadi.
“Sebelum ini saya dianggap jahat tetapi saya tidak perrnah melibatkan anak-anak apabila berada dalam sesebuah hubungan. Apatah lagi untuk membawa anak perempuan saya tidur satu bilik dengan orang yang belum saya kahwini. Ini sangat mengarut. Tinggalkan anak saya sendirian.”
Malah, Fatin Afeefa turut mendedahkan bahawa dia juga tidak pernah menerima nafkah daripada Adam sejak empat tahun yang lalu.
Walau bagaimanapun, pelakon Tentang Bulan ini telah memadam entri tersebut dan memuat naik permohonan maaf kerana terpaksa membuka cerita mengenai hal rumah tangganya kepada umum.
Sekadar info, Fatin Afeefa telah berkahwin dengan Adam Shahz pada tahun 2013 yang lalu sebelum bercerai pada tahun 2017. Hasil perkahwinan tersebut mereka berdua dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Adam Aish Arrian dan Ivy Herra Sophia.