Usahawan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan insiden serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Memetik laporan Malaysia Kini, bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu hanya memberikan jawapan ringkas berhubung tuduhan tersebut,
Gila.
Sebelum ini, Rafizi memaklumkan bahawa dua suspek lelaki menaiki motosikal, berpakaian serba hitam dan memakai topi keledar, telah mengekori kereta isterinya sebelum menarik anaknya dan menikam dengan jarum suntikan.
Beliau mendakwa, sehari sebelum kejadian, sekumpulan individu telah menyalurkan maklumat kepadanya mengenai satu skandal, dan serangan terhadap anaknya dipercayai bertujuan untuk menghentikan siasatan yang sedang dijalankannya. Rafizi berpendapat ia adalah strategi untuk memaksanya menarik diri daripada mendedahkan isu tersebut.
Polis kini sedang menyiasat kaitan antara insiden itu dengan kerja Rafizi, yang dipercayainya saling berkait. Anak beliau pula perlu menjalani ujian darah berkala selama enam bulan bagi memastikan tiada kesan dadah, racun atau jangkitan virus.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, memaklumkan langkah keselamatan terhadap Rafizi telah diperketatkan selepas kejadian.
Untuk rekod, Farhash pernah menjadi Pengerusi PKR Perak dan tewas dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Gombak pada 2022 kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Kredit foto: Malay Mail