Media sosial di Asia kini viral dengan gambar-gambar seorang jurufoto Singapura berusia lebih 50 tahun yang tidak kelihatan berumur lebih 30 tahun.
Namanya Chuando Tan. Penulis agak skeptikal bila terlihat gambar dan berita tentang Chuando di sebuah laman berbahasa cina yang tidak begitu dikenali, tetapi beberapa sumber dalam talian mengesahkan yang Chuando berusia 50-an, antaranya The Straits Times Singapura yang pernah menemubual Chuando pada tahun 2001.


Pada tahun 1996, setelah melalui kerjaya singkat sebagai penyanyi pop Mandarin, dia muncul semula di arena hiburan sebagai jurugambar fesyen. Walaupun ia sukar buat Chuando, dia akhirnya menjadi sangat berjaya.
Pada 2006, Tan dan rakan baiknya Frey Ow menubuhkan Chuando&Frey, sebuah firma fotografi yang pernah bekerja dengan ramai selebriti dan model Asia. Hasil kerja mereka berdua pernah dipaparkan di muka hadapan majalah seperti Jalouse, Muse, L’Officiel, Elle dan Harper’s Bazaar.
Mereka juga pernah mengambil gambar Janet Jackson untuk dijadikan kulit hadapan album penyanyi itu, Discipline, pada tahun 2008.
Bagaimana Chuando menjaga penampilannya? Dalam satu artikel tahun 1993, model itu memberitahu dia sentiasa mengelak tidur lewat dan hanya makan dada ayam yang dimasak cara Nasi Ayam Hainan setiap hari.
Dia juga bersenam di gimnasium empat kali seminggu. Kini, dia bersenam setiap hari dan akan memulakan setiap hari dengan bersenam sebelum melakukan kerja lain. Ramai mendakwa Chuando kelihatan lebih kacak pada usia sekarang berbanding ketika berusia 20-an.
Sekarang, jika anda ingin kelihatan muda seperti Pakcik Chuando, mungkin anda perlu mula tidur awal dan bersenam. Sudah tentu, masih belum terlambat jika anda mulakan hari ini.- amazingnara.com