Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Mohd Razali Alias, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah melibatkan wang tunai berjumlah USD20,000 dan RM64,600, dua tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh yang kini berusia 60 tahun itu mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin. Perkara itu dilaporkan oleh Berita Harian.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Razali didakwa secara rasuah menerima suapan berjumlah USD20,000 daripada Pengarah Syarikat Intelligence PC Centre Sdn Bhd, Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A Rahman, di Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO), Kem Kementah, Jalan Padang Tembak, antara Ogos hingga November 2024.
Wang berkenaan didakwa diterima sebagai dorongan untuk dirinya, selaku Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan MDIO Angkatan Tentera Malaysia (ATM), meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan bagi tujuan pembayaran Perolehan Perkhidmatan Senggaraan dan Perkhidmatan Sokongan Sistem Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC), Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).
“Saya faham pertuduhan yang dibacakan, saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata tertuduh di mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu proses perbicaraan selanjutnya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
