Seorang kanak-kanak berusia enam tahun di Perancis disiasat polis selepas dikatakan menyebabkan kematian seorang bayi baru lahir di Hospital Kanak-Kanak Jeanne-de-Flandre di bandar Lille, utara Perancis.
Menurut The Independent, kanak-kanak lelaki berkenaan didakwa dibiarkan berkeliaran di unit bersalin hospital berkenaan.
Manakala bagi yang maut itu dikenali sebagai Zayneb-Cassandra yang dilahirkan pramatang pada usia kandungan tujuh setengah bulan oleh seorang wanita berusia 23 tahun awal bulan ini.

Gambar hiasan
Bayi itu disahkan meninggal dunia pada Selasa selepas mengalami kecederaan otak serius didakwa kerana dijatuhkan ke lantai oleh kanak-kanak lelaki tersebut.
Anggap bayi anak patung
Sumber berkata, kanak-kanak itu menganggap bayi berkenaan seperti anak patung dan bermain dengannya sebelum jatuh ke lantai.
Pada Jumaat sebelumnya, ibu bayi itu yang sedang menandatangani dokumen pelepasan hospital tiba-tiba menerima panggilan daripada pengurus wad.
Dia dan keluarga dimaklumkan tentang insiden tersebut dan diminta datang segera. Menurut seorang wanita dari bilik bersebelahan, dia terdengar ‘bunyi hentakan kuat’ apabila bayi itu terkena lantai.
Bayi itu dikejarkan ke unit rawatan rapi, namun disahkan meninggal dunia pada Selasa akibat kecederaan otak yang teruk.

Gambar hiasan
Berlari di koridor dan ganggu pesakit, tanpa pengawasan
Difahamkan, sebelum ini kanak-kanak terbabit telah dilaporkan sebagai ‘mengganggu’ suasana di hospital dan ketika kejadian, dia dijumpai bersendirian bersama bayi itu yang tidak sedarkan diri di unit neonatal.
Proses kelahiran berjalan lancar tetapi bayi perempuan itu lahir pramatang dan dibawa ke unit neonatal, manakala ibunya kekal di wad bersalin.
Kanak-kanak itu merupakan anak kepada seorang pesakit di wad bersalin dan dilihat berkeliaran di sekitar hospital tanpa pengawasan.

Gambar hiasan
Nenek bayi tersebut ketika ditemu bual berkata kanak-kanak itu datang seawal jam 7 pagi dan dilihat berlari-lari sepanjang hari di koridor dan masuk ke bilik-bilik pesakit.
Dia juga masuk ke bilik Zayneb-Cassandra buat kali pertama. Dia kata bayi itu kelihatan seperti anak patung dan suami saya yang ada ketika itu menyuruhnya keluar.
Siasatan dibuka oleh Unit Kanak-Kanak di Perkhidmatan Polis Kehakiman Lille bersama pendakwa tempatan. Pihak hospital juga mengumumkan bahawa satu siasatan pentadbiran dalaman akan dijalankan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.