Bayi Hilang Dalam Kandungan Bukan Dongeng Walau Tak Dibuktikan Secara Saintifik

Trending

Bayi Hilang Dalam Kandungan Bukan Dongeng Walau Tak Dibuktikan Secara Saintifik

Ibu-ibu yang sedang mengandung, Kisah ini panjang, tapi mohon baca sampai habis. Kisah benar yang terjadi pada diri sendiri.

Benar orang tua kata, betapa syaitan sangat gemar mengganggu ibu mengandung.

Advertisement

Banyakkan berdoa, teguhkan pendinding diri, perbaiki amalan, mohon keampunan, supaya tiada yang menunggu untuk ‘mencuri’.

Pernah dengar tak kisah bayi hilang dalam kandungan?

Mungkin aneh, kerana tidak dapat dibuktikan pun dengan kajian saintifik. Hanya buku warna pink saja menjadi bukti dan kenangan si ibu.

Dulu saya tak pernah percaya pun kisah ini.

Tapi bila mak bercerita sendiri kisah yang pernah terjadi di kampungnya, lebih-lebih lagi pada zaman dulu rumah memang di dalam kawasan hutan, otak yang moden ini, sedikit demi sedikit harus akur untuk percaya.

Sebenarnya, waktu mengandungkan shariff tahun 2008 dulu, saya selalu didatangi seorang tua dalam mimpi.

Tapi disebabkan waktu itu, suami bekerja di luar negara, dan saya harus berdikari sendiri, hanya keluarga menjadi peneman di kala kesunyian.

Mak selalu pesan, mengandung sulung ni mesti jaga-jaga. Orang-orang tua selalu berpesan, hantu syaitan suka ibu mengandung sulung.

Entah apa istimewanya ibu mengandung sulung, saya pun tak tahu.

Memang taknak percaya.

Alah mak ni, zaman ni dah moden kan. Mana ada hantu syaitan kacau dah. Kita duduk dalam bandar. Kampung bunian pun tak ada agaknya. Sombong.

Tapi saya tetap teruskan amalan pendinding diri seperti ayat kursi dan doa-doa yang diajar. Hari demi hari, kandungan semakin sarat.

Sebulan sebelum bersalin, saya sering bermimpi didatangi seorang tua. Tak jelas. Samar-samar rupanya. Hanya berdiri dan memandang. Tidak berbuat apa-apa.

Sampailah seminggu sebelum bersalin (kemuncak sebelum tiba-tiba turun darah), saya bermimpi lagi sekali.

Waktu itu, saya suka tidur di bilik adik perempuan yang belum berkahwin. Bilik lebih kecil dan selesa berbanding bilik sendiri yang besar tapi sunyi dan menakutkan bila tiba waktu malam.

Dalam mimpi itu, saya nampak diri sendiri sedang berbaring, dan saya yang sedang melihat saya berbaring itu, sedang terapung.

Toleh saja ke kiri, di tingkap, saya nampak sungguh jelas wajah si tua yang selalu mendatangi dalam mimpi.

Rambutnya panjang. Serabut hingga ke kaki. Matanya hitam. Giginya tajam dan panjang. Mukanya, masya Allah, berkedut lebih seribu.

Putih melepak. Pucat kebiruan. Cengkung pipinya, mata terperosok ke dalam. Kukunya panjang, tajam, melengkung dan sedang memegang grill tingkap.

Kaki kurus sekurus batang penyapu. Sekurus tubuh badannya.

Terkejut!

Dan tambah terkejut, melihat dia perlahan-lahan menjulurkan tangan kirinya untuk mencapai perut saya yang sedang tidur.

Saya mahu menjerit. Kaku. Suara hanya tersekat di kerongkong. Mahu bergerak. Seperti terikat. Hanya mampu terapung tanpa boleh berbuat apa-apa.

Menangis mengenangkan bayi di dalam kandungan.  Takut. Sungguh.

Tangannya yang entah bila masa menjadi panjang, semakin panjang dan panjang hingga hampir sungguh dengan perut.

Saya cuba menghalang. Namun tidak berdaya. Tiba-tiba, nampak dia menjerit marah.

Rupanya waktu itu, saya nampak satu persatu huruf ayat kursi keluar dari perut, berwarna emas, bergerak membentuk satu perisai di badan saya yang sedang tidur.

Allah, terkejut sungguh. Tergamam. Dan si tua itu menjerit-jerit marah di luar tingkap. Kukunya yang panjang cuba menguis-nguis huruf ayat kursi namun tidak berjaya. Melantun semula.

Masih tidak mampu bergerak atau bersuara, saya melihat saya yang sedang tidur itu gelisah. Nampak mimik muka yang ketakutan. Tapi masih belum sedar.

Lama kelamaan, tangan si tua itu kembali semula ke badannya. Dan dia terus pergi sambil menjerit-jerit marah.

Dan entah tiba-tiba, selepas mimpi itu, saya terus terjaga. Berpeluh, kebingungan, dan meraba perut. Alhamdulillah masih bulat.

Dan tidak pernah didatangi lagi si tua itu, kerana 2 hari selepas itu, saya turun darah. Mak kata mentuban darah. Dan turun darah lebih sakit berbanding turun air.

Tiga hari turun darah tanpa tanda bersalin.

Masuk hospital subuh selasa, khamis malam jumaat baru bersalin dengan sakit bersalin lebih 15 jam selepas diinduce subuh khamis.

Sampai sekarang, saya masih belum dapat melupakan langsung mimpi tu. Si tua yang cuba mencuri bayi sulung.

Adakah jika saya tiada amalan, bersikap sambil lewa dan tetap dengan kesombongan, peristiwa bayi hilang dalam perut boleh terjadi pada diri sendiri?

Ya, masih bingung hingga kini.  Bila masuk saja ke bilik adik, saya pasti tertoleh ke grill tingkapnya, dan teringat mimpi dan muka si tua itu.

Menakutkan.

Ibu-ibu sekalian, jangan lupa pendinding diri.  Baca doa yang rasulullah sudahpun ajar di dalam hadis sahih. Dalam hidup ini, bukan sihir dan ain saja yang kita takuti, tapi gangguan seperti ini juga kita takuti.

1. “Bacalah Al Ikhlas dan Mu’awwidzatain (An Naas dan Al Falaq) di waktu sore dan pagi hari tiga kali, niscaya ia mencukupimu dari segala sesuatu” (HR. Abu Daud: 5082, dan Tirmidzi: 3575)

2.“Dengan menyebut nama Allah yang dengan sebab nama-Nya tidak ada sesuatu pun di bumi maupun di langit yang dapat membahayakan (mendatangkan mudharat). Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) sebanyak tiga kali, niscaya tidak akan ada sesuatu pun yang memudharatkannya” (HR. Abu Daud: 5088, dan Tirmidzi: 3388)

Dan carilah zikir pagi dan petang yang telah Rasulullah ajarkan berdasarkan hadis-hadis sahih. Makhluk Allah itu pelbagai.

Kita tak nampak mereka. Mereka NAMPAK kita. Mereka MENUNGGU masa.

Mohon sebarkan jika mampu memberi peringatan kepada yang lain, kerana manusia ini sifatnya pelupa.

Kredit : Mastura Rashid

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...