Jika anda meminati siri telenovela Mexico, pasti sedia maklum dengan siri drama berjudul Mis Tres Hermanas yang ditayangkan pada suatu ketika dahulu.
Difahamkan, drama telenovela itu bakal diadaptasi ke drama tempatan berjudul Hati Yang Dikhianati yang akan menemui penonton tidak lama sahaja lagi.
Drama tersebut yang dibintangi pelakon hebat seperti Amar Baharin yang membawa watak adaptasi Santiago yang diberi nama Zuhri Elyas.
View this post on Instagram
Amar dilaporkan akan memainkan peranan sebagai seorang penggoda wanita ataupun ‘womanizer’ dalam Hati Yang Dikhianati itu nanti.
“Watak Zuhri adalah dari watak asal Santiago yang pernah popular di Malaysia malah seluruh dunia pada tahun awal 2000. Jadi rata-rata peminat yang menonton drama (Mis Tres Hermanas) ini dahulu mungkin berusia sekitar 30an/40an/50an pada kala ini..” ujarnya ketika ditemui media baru-baru ini.
Mengambil peluang dalam membawakan watak yang dianggapnya sebagai agak mencabar, Amar berkata dia kerap beristighfar selepas berlakon dalam beberapa babak ketika penggambaran drama tersebut.
View this post on Instagram
“Cuma cabaran menjadi womanizer dalam drama ini membuatkan saya lebih kerap beristighfar selepas melakukan beberapa babak yang saya sendiri tidak sangka keadaan akan menjadi seperti itu. Maaf maaf maaf babak apa? Tunggu dan lihat sendiri!”
Selain Amar Baharin, drama Hati Yang Dikhianati terbitan Global Station itu turut dibintangi pelakon seperti Isyariana, Mona Allen, Zamarul Hisham dan Syamim Farid.
Ianya akan ditayangkan menerusi slot Tiara, Astro Prima mulai 12 April ini pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang.