Pelakon baru, Iman Suhana yang membawa watak ‘tidak cerdik’ sebagai Ruzita dalam drama rantaian Takdir Yang Tertulis nampaknya telah menarik perhatian peminat drama tempatan dalam mengenali dengan lebih mendalam terhadap bakat lakonannya.
Iman Suhana atau nama sebenarnya Norsuhana Mohamad Wahid,31, turut tidak menyangka bahawa lakonannya dalam drama popular tersebut telah mendapat perhatian masyarakat meskipun ramai pelakon senior dan hebat-hebat belaka turut terlibat dalam naskah yang sama.
Mengakui bahawa ramai sudah ‘buka mata’ dan memberikan komen positif terhadap watak Ruzita, Iman turut berkata dia kini sudah pun memperoleh nama gelaran seperti ‘Ita Ting Tong’ dan ‘Ita Milo Tabur’.
Meskipun membawa watak jahat, namun disebabkan perangai gila-gilanya dalam drama tersebut telah menyebabkan penonton tidak jadi marah malah terhibur dengan karakter Ruzita tersebut.
Dia dalam pada itu mengakui di sebalik karakter yang dibawanya dalam drama tersebut, Iman mengakui personalitinya di dunia sebenar juga seperti itu.
View this post on Instagram
“Kalau nak tahu itu memang perangai sebenar saya tapi dengan orang-orang yang rapat dengan saya sahajalah seperti keluarga dan teman rapat.Kalau dengan orang yang baru kenal, buang tebiat pula kalau saya nak berperangai sebegitu.”
Namun, Iman menjelaskan bahawa dia enggan terus dikenali peminat dengan watak yang sama sahaja sebaliknya ingin mencabar diri membawa karakter yang pelbagai agar portfolionya dalam bidang lakonan lebih meluas dan bervariasi.
Dia yang mempunyai kelulusan Sarjana Muda Jurusan Teater (Pengarahan) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu juga pernah membawa watak yang sama menerusi drama Monalisa yang disiarkan beberapa tahun lepas.
View this post on Instagram
Sekadar info, pelakon kelahiran Taiping, Perak ini sudah mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihan yang juga merupakan seorang ahli perniagaan iaitu Muhammad Shazwan Ibrahim,32, pada tahun 2018 yang lalu. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Maya Inara yang kini berusia dua tahun.