Pelawak Achey semalam ada memuat naik video memaparkan dia membawa anak Nur Tiara Zinnirah Nasir turun padang ke lokasi banjir bagi meninjau keadaan yang terjejas akibat bencana alam itu.
Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah,35, tujuan dia membawa anaknya itu adalah ingin memperlihatkan realiti kehidupan dan ujian Allah S.W.T kepada insan terpilih.
Meskipun Tiara masih kecil, namun bagi Achey dia harus didedahkan dengan isu semasa dan keadaan sekeliling.
Namun begitu, ada sesetengah netizen berpendapat bahawa tindakan Achey mungkin membahayakan keselamatan anaknya itu memandangkan banyak lokasi masih belum pulih daripada banjir.
Ramai yang mengulas mengatakan saya membahayakan nyawa Tiara, namun realitinya tidak begitu kerana saya sendiri tak berani hendak ke tempat air yang masih di paras tinggi.
Saya mahu anak melihat ujian Allah S.W.T dan segalanya boleh berlaku sekelip mata. Ini adalah realiti kehidupan dan setiap insan diuji dalam pelbagai bentuk.
Jelasnya lagi, dia juga sedang dalam perjalanan ke pusat perpindahan sementara (PPS) berhampiran kawasan rumahnya untuk menghulurkan bantuan asas kepada mangsa banjir.
Dia dalam pada itu berharap agar bantuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang diuji dengan tragedi hebat seperti ini.