Seorang wanita mengalami kecederaan di kepala dan menerima lima jahitan selepas dihempap sebuah basikal yang dibuang dari tingkat 12 bangunan Program Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, semalam, memetik Berita Harian.
Kejadian berlaku sekitar jam 4 petang ketika Azuraini Yazid, 43, yang bertugas sebagai pembantu TABIKA Kemas di Pasir Panjang, dalam perjalanan untuk membuang sampah.
Suami mangsa, Jusri Ibrahim, 48, memaklumkan bahawa isterinya tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri dengan keadaan kepala berlumuran darah akibat dihempap basikal tersebut.
Jusri, yang bekerja sebagai pemandu di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), berkata isterinya menerima rawatan kecemasan oleh pasukan perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum kembali sedar.
Menurutnya, dia telah bersemuka dengan pemilik basikal berkenaan, namun individu tersebut mendakwa basikal anaknya yang diletakkan di luar rumah telah dibuang oleh pihak lain.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan pihak polis telah merakam keterangan seorang penghuni yang mengakui memiliki basikal itu, tetapi menafikan bertanggungjawab membuangnya dari tingkat 12.
Setakat ini, siasatan masih dijalankan dan keadaan mangsa dilaporkan stabil serta telah dibenarkan pulang awal pagi ini.
Insiden objek dibuang dari tingkat atas bangunan perumahan berstrata seperti PPR bukanlah perkara baharu. Sebelum ini, kejadian serupa pernah berlaku, termasuk insiden sebuah televisyen yang dibuang dari bangunan hingga menghempap kereta di Taman Seri Intan, Ampang pada April 2018.
Pada Januari tahun sama, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas ditimpa kerusi yang dipercayai dicampak dari bangunan PPR Seri Pantai, Pantai Dalam.
Kejadian berlaku sekitar jam 8.30 malam ketika mangsa, S. Sathiwaran, pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya, sedang berjalan pulang bersama ibunya ke rumah mereka di tingkat 16.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.