Awal pagi tadi, bas ekspres dari Kulim menghala ke Kuala Lumpur terbabas sebelum terbalik menyebabkan seramai 14 individu termasuk pemandu cedera di Kilometer 265 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, selepas Terowong Menora.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata panggilan kecemasan diterima jam 2.22 pagi sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dengan bantuan BBP Ipoh dikejarkan ke lokasi berkenaan.
Tambahnya, bas ekspres tersebut dari perjalanan Kulim menghala ke Kuala Lumpur terbabas sendiri di bahu jalan tanpa melibatkan kenderaan lain. Kesemua penumpang yang cedera membabitkan 11 lelaki dan tiga wanita.
“Bomba mengeluarkan kesemua mangsa daripada bas berkenaan termasuk menggunakan katil pengusung dan memberi rawatan awal sebelum menyerahkan mereka kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut”.
Difahamkan, kemalangan berlaku ketika bas sedang menuruni kawasan berbukit selepas keluar dari Teroeong Menora.
Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi menyelamat berakhir sekitar jam 4.39 pagi.