Hanya dengan sekali pertemuan dengan penyanyi Ismail Izzani di sebuah majlis hiburan pada awal November lalu, ia sudah cukup membuat Bunga Isme terpalit dengan kontroversi sehingga ke hari ini.
Berikutan pertemuan itu, penyanyi lagu Bunga itu didakwa telah menjadi punca Ismail dan bekas kekasihnya, penyanyi Shalma Eliana berpisah.
Cakna dengan isu kontroversi itu, Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari,21, memberitahu bahawa dia tidak pernah bertemu secara dekat dengan Ismail.
Jelasnya lagi, segalanya bermula selepas mereka berdua bertegur sapa dan memuat naik video ketika menghadiri majlis Z-List Award anjuran Lifestyle Asia KL.
Biasalah semua orang akan buat story apabila dengan kawan-kawan kan? Itu merupakan kali pertama saya bertemu dengan Ismail, sebab sebelum ini pernah nampak tapi tak pernah tegur.
Kata Bunga, disebabkan oleh kontroversi itu, dia berasa sangat terkejut dan mengalami tekanan akibat dakwaan itu.
Enggan memberi ruang daripada ia terus diperkatakan, Bunga mengambil keputusan untuk mendiamkan sahaja kata-kata cemuhan peminat di media sosial.
Terdahulu, Ismail mendedahkan bahawa hubungan cintanya bersama Shalma Eliana telah pun berakhir.