Seorang pelancong Barat yang menggunakan nama @ivanhikestheworld di TikTok meluahkan rasa kecewa terhadap tahap kebersihan di sekitar kawasan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan.
Dalam video yang dimuat naiknya, Ivan memaparkan situasi memalukan apabila kawasan luar stadium itu dipenuhi sampah sarap seperti plastik makanan dan minuman yang didakwa ditinggalkan oleh pemilik kenderaan yang makan di situ semasa perlawanan bola sepak berlangsung.
Orang ramai selalu mempersendakan orang Kelantan. Saya datang untuk mempertahankan mereka dan sangkakan itu cuma stereotaip… tapi realitinya mengecewakan.
Ivan turut mempersoalkan mentaliti segelintir masyarakat yang membuang sampah merata-rata seolah-olah mengharapkan kebersihan berlaku dengan sendirinya tanpa rasa tanggungjawab.
Kenapa susah sangat nak buang sampah ke tempat sepatutnya?
Enggan hanya menjadi pemerhati, Ivan bertindak mengutip sendiri sampah-sampah yang berselerak dan membuangnya ke dalam tong sampah. Katanya, menjaga kebersihan sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama kerana kita semua berkongsi planet yang sama.
“Siap, tak susah mana pun. Sebenarnya semudah mainan budak-budak saja,” selorohnya sambil menunjukkan tindakan mudah mengutip dan membuang sampah.
Ini ke yang selalu jadi? Setiap kali awak buat sepah, ada orang kena tolong kemaskan?
Tindakan dan teguran Ivan mendapat pelbagai reaksi netizen, ada yang bersetuju dan malu dengan situasi itu, dan tidak kurang juga yang mempertahankannya dengan menyalahkan kurangnya kemudahan tong sampah di kawasan terbabit.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.