Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan bagi siasatan lanjut berkenaan seorang remaja perempuan bawah umur yang dilarikan dan dirogol.
Menurut laporan, pihak polis menangkap suspek berdasarkan laporan yang dibuat oleh seorang wanita berkaitan kehilangan anak perempuannya pada 16 Jun lepas.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek ditahan pada Sabtu lepas kira-kira jam 9.30 malam di sekitar Kuala Lumpur.
Siasatan polis mendapati mangsa berusia 13 tahun itu telah berkenalan dengan seorang lelaki melalui aplikasi di media sosial sejak 14 Jun lalu.
Setelah berkenalan selama dua hari, mangsa telah membuat temujanji bersama suspek di hadapan sekolah untuk melarikan diri ke Melaka.”
Suspek difahamkan telah menjemput mangsa di hadapan sebuah sekolah menggunakan sebuah kereta Perodua Viva dan membawa mangsa ke Melaka pada 16 Jun, sekitar jam 6.40 petang.
Mangsa dibawa ke sebuah bangunan rumah kedai dan suspek kemudian melakukan hubungan seks bersamanya.
Keesokan hari, kira-kira jam 11.30 malam suspek menghantar mangsa ke Sentul atas permintaannya dan mangsa pula telah meminta bantuan daripada seorang kawan untuk tinggal di rumahnya.
Mangsa kemudian meminta bantuan daripada rakan sekelas untuk mengambilnya dari Sentul untuk pulang ke rumah sebelum berjaya diselamatkan berdasarkan maklumat itu.
Tangkapan dijalankan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan, selain itu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan terhadap suspek.
Polis turut merampas sebuah kenderaan dan telefon bimbit untuk siasatan lanjut dan suspek kini dalam tahanan reman.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.