Baru berkahwin, seorang lelaki berusia 30 tahun dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas didapati bersalah dalam satu kes melibatkan pornografi kanak-kanak.
Memiliki pornografi kanak-kanak
Menurut laporan, tertuduh, Muhammad Rafie Razak yang merupakan seorang jurukimpal baru berkahwin tiga minggu lalu dan dikenakan denda RM4,000 dan dipenjara tambahan enam bulan jika gagal membayar selepas mengaku bersalah memiliki bahan pornografi kanak-kanak, tahun lalu.
Hakim menjatuhkan hukuman itu selepas menimbangkan fakta kepentingan awam dan berkata kesalahan dilakukan oleh tertuduh adalah serius.
Simpan dalam Google Drive, handphone
Lelaki itu didakwa memiliki pornografi kanak-kanak di dalam Google Drive dan telefon bimbitnya di sebuah rumah di Bukit Baru pada 13 Februari 2023, kira-kira jam 4.45 petang.
Kesalahan tersebut didakwa
mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum berpandukan seksyen sama.
Jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Difahamkan, peguam mewakili tertuduh memohon hukuman denda ringan kerana ia merupakan kesalahan pertama dan anak guamnya baru berkahwin selain sudah menyesal serta berjanji tidak akan mengulanginya.