Tidak dapat dinafikan biarpun sudah memasuki tahun 2023, masih terdapat beberapa negara yang melalui kehidupan mereka dengan penuh kesusahan hingga sanggup melakukan perkara yang menyalahi undang-undang demi mencari wang.
Baru-baru ini di negara Nigeria, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun telah ditangkap oleh pihak polis kerana disyaki menghamilkan 10 orang gadis sekali gus.
Remaja lelaki bernama Noble Uzuchi itu juga ditahan bersama seorang lelaki lain dan 2 wanita dewasa akibat terlibat dalam sindiket ‘kilang bayi’.
Melalui laporan Pulse.com, pihak polis menyerbu 2 buah rumah di Igwuruta dan Omagwa pada 7 Januari lalu dan hasil dari serbuan tersebut, seramai 10 gadis naif berjaya diselamatkan dan hampir kesemuanya sudah berbadan dua.
Difahamkan, remaja berkenaan serta suspek lelaki itu dipercayai telah diupah untuk menghamilkan kesemua gadis tersebut.
Hasil siasatan lanjut, ketua sindiket mereka akan menyimpan bayi yang sudah dilahirkan sebelum menjual mereka kepada orang luar dan si ibu pula akan ditawar wang sebanyak RM4,800 setiap kali bersalin.
Tambahan lagi, gadis-gadis yang sudah terselamat turut mengakui tertarik dengan wang lumayan ditawarkan itu kerana masing-masing mempunyai masalah kewangan.