Lakonan mantap Shaheizy Sam dan Zizan Razak serta jalan cerita yang penuh dengan aksi sambil menerapkan elemen komedi nampaknya telah berjaya menarik perhatian ramai untuk menonton filem Polis Evo .
Baru sahaja ditayangkan selama empat hari, filem tersebut telah berjaya meraih kutipan sebanyak RM2.5 juta. Satu pencapaian yang agak membanggakan dan sekaligus ia membuktikan ramai lagi yang masih menyokong filem tempatan.
Berdasarkan komen positif mereka yang sudah menonton filem Polis Evo, sambutan terhadap filem berkenaan akan lebih baik selepas ini dan jika ia berterusan tidak mustahil ia boleh meraih kutipan lebih tinggi selepas ini.
Polis Evo merupakan filem bergenre aksi dan ia memaparkan kisah dua anggota polis, Khai (Shaheizy Sam) dan Sani (Zizan Razak) yang mempunyai personaliti yang sangat berbeza tetapi mereka harus bekerjasama untuk menjatuhkan sebuah operasi pengedaran dadah di negeri Terengganu.