Pemandu lori muatan baru kerikil yang baru sahaja 20 minit dibebaskan dengan jaminan mahkamah, ditahan semula bersabit kes mencuri lembu.
Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk melakukan penangkapan pemandu lori tersebut di pejabat kaunter pembayaran jamin sekitar jam 12.20 tengah hari tadi.
Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan kes curi lembu di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan di Hutan Melintang, Bagan Datuk pada April lepas.

Kredit: Bernama
Terdahulu, lelaki tersebut telah dibebaskan dengan jaminan mahkamah dari lokap IPD Hilir Perak selepas membayar wang jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.
Proses membayar ikat jamin tersebut dilakukan majikan dikenali sebagai Ravi, 58, bersama jiran sekampung yang hanya mahu dikenali sebagai Roslan, 62. Masing-masing membayar jaminan berjumlah RM4,000 dan RM2,000.
Pada Jumaat lalu, tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas sembilan pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebutan semula kes dan lantikan peguam ditetapkan pada 17 Jun akan datang.