Pelakon senior, Noorkumalasari baru-baru ini telah diundang untuk menghadiri program bual bicara, Next To Neelofa pada khamis lalu di saluran Astro Ria.
Dia yang juga adik kepada penyanyi lagenda Anita Sarawak telah berkongsi sedikit sebanyak kisah hidupnya bersama penonton di luar sana.
Di kesempatan itu juga, pengacara program berkenaan iaitu Neelofa turut mengambil kesempatan bertanyakan mengenai perkembangan terkini Anita Sarawak pada pelakon terkenal era 80-an itu.
Mengakui banyak peminat industri seni di Malaysia tertanya-tanya kemanakah penyanyi itu menghilang sejak lebih kurang 10 tahun yang lalu, Noorkumalasari hanya menjelaskan bahawa kakaknya itu kini berada dalam keadaan baik dan sihat-sihat sahaja.
“Saya tak tahu cara menjawabnya, Insyallah. Kami semua berdoa untuknya. Sebab saya tak ada peluang untuk bercakap dengannya. Tapi ada hikmahnya juga paparazzi tak hubungi saya kerana susah. Jadi ada yang hubungi kakak sulung saya bertanya. Baru-baru ni dia telefon dan bercakap dengan abang mahathir. Mereka berdua baik, alhamdullilah,”
Menurut Noorkumalasari lagi, Anita Sarawak dan suami, Mahathir kini sedang melakukan perniagaan hartanah dan menjual rumah serta dikhabarkan merantau ke seluruh Amerika Syarikat.
Dia turut mengambil kesempatan untuk memohon peminat di luar sana supaya mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan Anita Sarawak dan suami di perantauan.