Filem terbaru arahan Mamat Khalid iaitu Hantu Kak Limah kali ini mendapat sambutan yang sangat luar biasa. Hari pertama ditayangkan di pawagam ia sudah menjadi filem tempatan yang paling tinggi kutipannya.
Dikatakan sebagai antara karya yang lucu dan penuh dengan mesej bermakna, Hantu Kak Limah sekali lagi mencetuskan fenomena dan telah memecah rekod dengan mendapat kutipan melebihi RM 9 juta dalam tempoh empat hari ditayangkan.
Malah jumlah pawagam yang menayangkan filem ini turut bertambah menjadi 137 pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei. Penonton di Singapura boleh menonton di pawagam berhampiran mereka bermula 16 Ogos ini.
Terdahulu Hantu Kak Lima mencipta sejarah tersendiri apabila menerima kutipan tertinggi iaitu lebih RM650,000 pada hari pembukaan tayangan ‘sneak preview’ pada 8 Ogos lalu, ia sekali gus mengukir kejayaan kutipan mencecah RM1.8 juta pada hari pertama tayangan.
Filem terbitan Astro Shaw dan Infinitus Gold ini dibintangi oleh pelakon terkenal seperti Datuk Awie, Delimawati, Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Ropie, Mus May, Sharwani, TJ Isa, Jue Aziz serta penampilan istimewa Erra Fazira dan Datuk Seri Vida.