Sudah menjadi lumrah manusia apabila mempunyai perasaan suka atau cinta terhadap seseorang, sama ada ianya hadir tanpa diundang atau dipaksa.
Namun lain pula yang terjadi pada seorang pemuda yang bekerja sebagai seorang jururawat di sebuah hospital apabila dia menerima ‘surat cinta’ daripada pesakitnya sendiri.
Apa yang menarik perhatian adalah apabila pesakit tersebut hanyalah seorang kanak-kanak yang berusia 13 tahun dan turut dikongsi pemuda tersebut di laman TikTok miliknya untuk tatapan netizen.
Tidak memperincikan isi surat tersebut, pemuda tersebut dilihat hanya ‘geleng kepala’ sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.
Menjengah ke ruangan komen, ada sesetengah netizen menganggap tindakan pemuda itu terlalu berlebihan kerana dia sepatutnya memberi nasihat atau teguran supaya kanak-kanak tersebut tidak mengulangi kesilapan yang sama terhadap orang lain pula.
Namun begitu, ada juga yang menyokong tindakan pemuda itu yang tidak melayan karenah kanak-kanak tersebut dan dilihat bertanggungjawab bagi membendung kes-kes seperti eksploitasi kanak-kanak ataupun ‘child grooming’.