Mahkamah Sesyen di sini hari ini membuat keputusan penting dalam kes membabitkan kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin, yang menggemparkan negara akhir tahun lalu.
Dalam keputusan yang dinanti-nantikan, mahkamah membebaskan Zaim Ikhwan Zahari, bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau, memetik Sinar Harian.
Namun, isteri beliau merangkap ibu kepada mangsa, Ismanira Abdul Manaf, diperintah untuk membela diri selepas mahkamah berpuas hati terdapat bukti mencukupi yang perlu dijawab.
“Mahkamah bebaskan Zaim Ikhwan sementara Ismanira diperintah membela diri,” kata Hakim Dr. Syahliza Warnoh ketika membacakan keputusan tersebut.
Suasana Sebak Dalam Mahkamah
Sebaik sahaja keputusan diumumkan, suasana dalam mahkamah bertukar hening dengan tangisan dan pelukan antara ahli keluarga. Bapa kepada Zaim Ikhwan turut dilihat menangis sambil memeluk ahli keluarga lain dalam suasana penuh emosi.
Tiga Pilihan Diberi Kepada Ismanira
Mahkamah kemudiannya memberikan tiga pilihan kepada Ismanira untuk membela diri:
- Memberi keterangan bersumpah dari kandang tertuduh dan dibidas oleh pendakwaan.
- Memberi keterangan tanpa bersumpah tanpa boleh disoal balas.
- Berdiam diri dan tidak memberi sebarang keterangan.
Selepas berbincang dengan peguamnya, Ismanira memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah, membuka ruang kepada soal balas daripada pihak pendakwa.
Kematian Zayn Rayyan mencetuskan kemarahan dan kesedihan orang ramai apabila mayatnya ditemukan di tebing sungai berhampiran pangsapuri selepas dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023.
Dengan keputusan hari ini, fokus kini beralih kepada peringkat pembelaan oleh Ismanira. Peguamnya dijangka mengemukakan hujahan serta bukti bagi menyangkal pertuduhan pengabaian yang dikenakan terhadapnya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.