Siapa sangka malang menimpa lelaki ini apabila niatnya mahu mencari rezeki hancur begitu sahaja. Di dalam kejadian yang berlaku di hadapan kediamannya, gerai burger yang baru sahaja dibukanya ranap dilanggar oleh pemandu mabuk.
Nasibnya baik apabila tiada kemalangan jiwa yang berlaku di dalam kejadian itu namun dia turut mengalami kecederaan ringan. Kejadian yang berlaku sekitar jam enam petang di Ipoh, Perak itu telah memusnahkan hasil jualannya yang belum lagi dijual kepada pelanggan pada hari tersebut.
Kereta dipandu laju
Mohd Hazwan Ghazali menjalankan perniagaan menjual burger secara sambilan yang baru sahaja bermula sebulan yang lalu. Pada hari tersebut, dia membuka gerai pada jam 6 petang dan mula berada di gerai sekitar jam 6.30 petang bersama anaknya yang berusia lima tahun.
Masa tu, saya nampak ada kereta keluar dari simpang agak jauh dalam keadaan sangat laju. Kereta tu siap masuk lorong bertentangan dan ada kereta lain yang cuba mengelak.
Kereta tersebut dilihat mula hilang kawalan dan merempuh gerai menjual buah limau di sebelah gerainya sebelum gerai miliknya. Kedua-dua gerai ini hancur dilanggar kereta terbabit dan dia turut mengalami kecederaan ringan pada bahu kiri akibat ditimpa dahan-dahan pokok.
Terdetik hati panggil anak
Sebelum pelanggaran berlaku, dia terdetik hati memanggil anaknya yang sedang bermain untuk datang padanya. Selepas dia melihat kereta yang dipandu laju itu, dia segera tarik dan memeluk anaknya ke belakang sehinggakan hampir terjatuh ke dalam longkang.
Syukur saya dapat naluri masa tu, macam sixth sense. Jarak kereta hanya sejengkal saja, saya tak dapat bayangkan keadaan anak saya kalau dia masih bermain pada masa tu.
Berdasarkan pada bau mulut pemandu tersebut yang dikesan oleh orang awam, dia dipercayai berada dalam keadaan mabuk. Pemandu tersebut kemudian mengakui kesalahannya itu dan akan membayar segala ganti rugi termasuk motorsikalnya yang turut mengalami kerosakan.
Namun dia meluahkan rasa kesalnya kerana kejadian seperti ini boleh berlaku lagi pada masa hadapan jika tiada pelaksanaan undang-undang yang lebih ketat dilaksanakan. Dia juga memaklumkan tidak membuat laporan polis kerana anaknya selamat dalam kejadian itu dan pemandu tersebut juga bersedia menanggung ganti rugi.
Berikutan kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk meningkat, satu petisyen larangan penjualan arak telah dilakukan tahun lepas. Untuk baca artikel penuh, klik pautan di bawah.
Artikel berkaitan: Mangsa Korban Pemandu Mabuk Meningkat, Netizen Lancar Petisyen Haramkan Penjualan Arak