Peristiwa seorang gadis memandu lawan arus di Pulau Pinang sehingga merempuh sebuah Perodua Kelisa dan menyebabkan kematian seorang lelaki telah menjadi viral sejak semalam.Terbaru, bapa mangsa, Rosli Lin, 57, menberitahu akan mengemukakan saman terhadap pemandu itu sebagai satu pengajaran kepada pemandu cuai yang lain.
Katanya kepada BH Online:
Kami akui apa yang terjadi adalah suratan takdir, namun kematian anak saya perlu pembelaan dan individu yang bertanggungjawab itu perlu mendapat hukuman yang setimpal.
Kemalangan yang berlaku bukan kemalangan biasa, tetapi ia disengajakan dan kami merasakan anak kami seperti dibunuh dengan sengaja.
Sementara itu, gambar dan maklumat pemandu berusia 19 tahun itu kini tersebar di Internet kerana Netizen menuntut agar kematian mangsa yang baru berkahwin tiga bulan lepas itu dibela.
Gadis itu menggunakan nama Cindy Ng di Facebook dan merupakan seorang model sambilan dan pernah menyertai beberapa pertandingan ratu cantik.
Apa yang lebih menyedihkan mangsa terbunuh sedangkan gambar perkahwinannya baru siap sepenuhnya dan isterinya pula berada di peringkat awal kehamilan.
Gambar: Nadzeme Nadzem
Mangsa juga ialah satu-satunya anak lelaki dalam keluarga dan mempunyai seorang adik perempuan.
Cindy Ng sebelum ini mempunyai laman peminat Facebook tersendiri dan menganggap dirinya seorang ‘public figure’.
Bagaimanapun laman itu kini dinyahaktifkan setelah ia dibanjiri komen netizen yang mendakwa Cindy seorang pembunuh.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata siasatan awal mendapati gadis itu berada dalam pengaruh alkohol dan dadah sehingga dia bertindak luar jangka.
Katanya, suspek yang berasal dari Taman Desa Murni sepatutnya memasuki susur keluar Sungai Dua untuk pulang ke rumahnya, namun terlajak sehingga ke Plaza Tol Sungai Dua.
Suspek yang baru pulang minum di sebuah kelab bersama rakannya mendakwa ternampak sebuah lori di hadapannya menyebabkannya bertindak membuat pusingan U secara tiba-tiba sehingga bergesel dengan tiga kenderaan di situ.
Suspek kemudian memandu laju kenderaannya secara melawan arus dalam jarak lima kilometer sebelum bertembung dengan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun yang mengakibatkan lelaki itu maut
Lapan saksi iaitu orang awam yang menyaksikan kejadian itu dan pemandu yang terbabit juga sudah tampil memberi keterangan.
Bagi kes ini, kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 44, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ramai menuntut gadis itu diberi hukuman maksimum untuk apa yang telah dilakukannya.
Seorang pensyarah undang-undang, Shamsher Singh Thind, berkata kepada NST Online kes ini lebih dari sekadar kecuaian yang menyebabkan kematian kerana wujudnya unsur pemanduan berbahaya dan dia sepatutnya didakwa atas tuduhan membunuh:
Ini ialah pembunuhan. Saya mohon pihak polis menyiasat kematian Mohd Fandi Rosli, 26, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan bukan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Memberi contoh, dia berkata yang sekiranya seseorang menembak meriam ke arah sekumpulan orang awam dan menyebabkan seorang terbunuh, maka orang itu bersalah kerana membunuh walaupun tidak mempunyai niat sedemikian.
Dalam kes ini, gadis itu memandu 110 km/j pada arah melawan arus, dan ini sama bahayanya macam menembak meriam ke arah sekumpulan orang awam.
Impian Cindy untuk menjadi public figure kini menjadi kenyataan, walaupun mungkin bukan dalam bentuk yang diimpikannya.-amazingnara.com