Bapa kepada penyanyi Bea Soba Bea, Eda Ezrin berkongsi keadaan anaknya yang kini semakin kurus selepas lebih tujuh bulan berada di Penjara Wilayah Narathiwat.
Kata Wan Ismail Wan Yusuf, 52. dia sudah menjangkakan penahanan anak sulungnya itu akan dilanjutkan sehingga bulan hadapan.
Meskipun terkilan tidak dapat menyambut Aidiladha bersama-sama, keluarga reda dan akur dengan segala keputusan memandangkan undang-undang di Thailand tidak sama dengan negara kita.
Eda Ezrin sering merintih dan bertanyakan kepada kami bila dia akan dibebaskan, badannya juga kini semakin kurus.
Macam-macam dalam fikiran saya bila mengetahui penahanan Eda Ezrin sekali lagi dilanjutkan sehingga bulan depan.
Tambahnya, selepas bulan hadapan, nasib Eda masih belum diketahui namun mereka dimaklumkan kes itu boleh dirujuk ke Mahkamah Agung.
Saya sendiri keliru sedangkan keputusan Mahkamah Wilayah Narathiwat pada 6 Mac lalu mendapati anak saya serta yang lain tidak bersalah.
Ujarnya lagi, dia tidak sanggup untuk bertemu dengan anak perempuannya itu di penjara kerana terlalu sedih memikirkan apa yang menimpa dan hanya bekas isterinya iaitu ibu Eda yang berjumpanya.
Terdahulu, Mahkamah Wilayah Narathiwat sekali lagi meluluskan permohonan pendakwa raya dan penahanan Eda Ezrin, suami aerta empat rakan dilanjut sehingga 6 Julai depan.