Marah dengan tuduhan rogol terhadap anak perempuannya berusia 14 tahun oleh seorang lelaki yang telah berkahwin berusia 45 tahun, seorang bapa menjemput perogol itu ke rumah, menjamunya makan malam kemudian menyiksa perogol itu hingga mati.
Dia kemudiannya menyerah diri ke balai polis dan memberitahu polis maklumat lengkap tentang bagaimana dia menyeksa dan membunuh lelaki itu.
Lelaki berusia 36 tahun itu dikatakan membakar alat kelamin perogol menggunakan playar yang dipanaskan sebelum mencekiknya hingga mati. Insiden itu dilaporkan berlaku di kawasan Kajuri Khas, tenggara Delhi Sabtu lepas.
Berdasarkan kenyataan lelaki itu, polis memberitahu bahawa si mati, seorang pembekal ubat, merogol anaknya dua bulan lepas. Bapa itu tidak membuat laporan polis kerana takut ‘nama anaknya tercemar’. Lapor seorang pegawai:-
Bapa itu jemput si mati ke rumah kerana mahu berbincang tentang sesuatu. Dia menjamu si mati makan malam. Selepas makan, bapa itu menggunakan kekuatannya untuk mengikat si mati ke kerusi. Dia panaskan playar dan bakar alat kelamin si mati sebelum mencekiknya hingga mati. Dia datang ke balai polis dan menyerah diri.
Berdasarkan kenyataannya, kami hantar satu pasukan polis ke tempat kejadian dan menjumpai mayat. Ia telah dihantar untuk pemeriksaan post-mortem dan keluarganya telah diberitahu. Kes bunuh telah didaftarkan dan lelaki berusia 36 tahuh itu kini ditahan.
Dalam kenyataannya, bapa itu memberitahu polis yang dua bulan lepas, sewaktu dia berada di kedai miliknya, si mati datang ke rumah dan memanggilnya. Apabila mendapati dia tidak berada di rumah dan anaknya tinggal seorang diri, si mati telah merogol anaknya. Si mati mengugut supaya remaja itu tidak memberitahu sesiapa tentang kejadian tersebut.
Bagaimanapun, remaja itu memberitahu bapanya apa yang berlaku pada hari yang sama. Bapa itu memberitahu dia tidak melapor pada polis kerana risau jiran tetangga dan saudara mara akan menyalahkan anaknya untuk kejadian tersebut.
Polis berkata bapa itu sudah merancang pembunuhan itu sejak mendapat tahu anaknya telah dirogol. Dia turut memberitahu polis yang sebelum ini dia berasa marah apabila melihat si mati gembira bersama keluarganya sedangkan anak perempuannya menderita.
Laporan asal: Indian Express