Seorang lelaki berusia 44 tahun mengaku bersalah merogol anak kandungnya sejak mangsa berusia 12 tahun.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata mangsa kini berumur 20 tahun dan pernah melahirkan dua anak akibat perbuatan keji bapanya itu.
Ibu tahu tapi membiarkan saja
Lebih menyedihkan, ibu kandung mangsa tahu tentang perbuatan tersebut dan membiarkan si suami memperkosa anak mereka.
Di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini Hakim, Mohamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman 20 tahun penjara dan lima sebatan terhadap tertuduh.
Kamu sebagai bapa yang diamanahkan untuk menjaga anak tapi telah lakukan sebaliknya dan saya ambil maklum faktor mangsa hanya buat aduan selepas ibu bapanya ditahan atas kes lain.
Semestinya mangsa berasa tidak selamat berada di rumah sendiri sepanjang tempoh tersebut dan saya percaya ia akan menyebabkan trauma dan meninggalkan kesan psikologi teruk kepada mangsa serta reputasi mangsa juga akan terjejas dengan perbuatan tertuduh.
Ibu serahkan bayi kepada orang lain
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Chuah, Port Dickson, kira-kira jam 6 pagi pada November 2022, boleh dihukum bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan (Akta 574). Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat.
Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan dengan anak perempuan berusia 18 tahun enam bulan ketika kejadian, yang mana perhubungan tertuduh dengan mangsa tidak dibenarkan bawah undang-undang dan hukum yang terpakai untuk berkahwin dengannya.
Seorang anak yang dilahirkan sebelum ini telah meninggal dunia manakala seorang lagi kini berusia tiga tahun dan kanak-kanak tersebut telah diserahkan kepada orang lain oleh ibunya tanpa pengetahuan mangsa.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar hukumannya diringankan atas alasan mempunyai anak-anak yang masih kecil, manakala isteri menghidap kencing manis dan penyakit jantung.
Hanya tertuduh lelaki dilaporkan mengaku bersalah dan sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Julai depan.