Awal tahun ini ‘riuh’ di media sosial, apabila Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin memaklumkan pihaknya akan menggubal akta baharu yang melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk vape kepada generasi yang lahir selepas 2005.
Bagi kami secara peribadi ini merupakan satu usaha yang patut dipuji kerana ia membantu mencegah ketagihan sejak awal. Namun demikian, timbul pula satu persoalan, bagaimana pula dengan ‘nasib’ perokok sedia ada? Selain kempen dan klinik berhenti merokok, tiadakah cara lain seperti memperkenalkan produk yang kurang memudaratkan bagi membantu perokok tegar ni?
27 ribu kematian dicatat setiap tahun. Bila kita nak berubah?
Tahukah anda, Malaysia mempunyai bilangan perokok tegar kira-kira 4.8 juta dengan anggaran 27,200 kematian setiap tahun mempunyai hubung kait dengan budaya merokok. Seram bila tengok angka tu kan?
Masalah ini umpama duri dalam daging kerana saban tahun banyak pihak yang mendesak kerajaan dan mereka yang berkepentingan untuk memperkenalkan kaedah alternatif bagi membantu mengurangkan kebergantungan perokok tegar terhadap rokok.
Malah kami pun dah suarakan isu yang sama beberapa kali, tapi masih tak nampak jalan penyelesaiannya.
Baru-baru ni, kami telah diberi kesempatan untuk menyertai sendiri Forum Global Nikotin atau Global Forum on Nicotine (GFN) 2022 yang berlangsung di Warsaw, Poland. GFN merupakan medan pihak-pihak berkepentingan membincangkan peranan nikotin yang lebih selamat dalam usaha mengurangkan kematian dan penyakit yang berkaitan dengan merokok di peringkat global.
Banyak input baharu yang kami dapat dan bagaimana pandangan antarabangsa mengenai perkenalan kepada pengurangan mudarat tembakau (THR) dalam usaha membantu perokok tegar untuk berhenti merokok.
Menyedari kurangnya info mengenai produk alternatif dan kejayaannya di negara sendiri. Kami ingin kongsikan, bagaimana Jepun telah berjaya mencatatkan penurunan perokok tegar sehingga 44 peratus sejak mereka mengambil langkah proaktif memperkenalkan produk tembakau boleh dipanaskan (HTP). Langkah ini diambil bagi memberi pilihan kepada rakyat negara matahari terbit itu beralih kepada produk yang kurang memudaratkan.
New Zealand dalam pada itu turut memperkenalkan undang-undang berkaitan mempromosi rokok elektronik sebagai alternatif rokok tradisional. Agaknya bila Malaysia nak perkenalkan langkah yang sama?
Salah Maklumat, Siapa Yang Kita Boleh Percaya?
Dalam pada itu, semasa GFN berlangsung, satu topik telah berjaya menarik minat kami iaitu perbincangan mengenai “Misinformation, Who Can We Trust?”. Salah satu panelnya, William Steward, Presiden dan Pengasas Povaddo (firma penyelidikan tentang pendapat umum dan jangkaan masyarakat) menyatakan bahawa masyarakat kini semakin mempercayai Sains sebagai salah satu cabang penyelesaian masalah kesihatan berbanding sebelum wabak COVID-19.
Tambahnya, masalah kekurangan info telah menjadi penyumbang kepada penyebaran maklumat yang salah.
Ini dikuatkan lagi dengan tinjaun yang dilakukan Philip Morris International terhadap 44,622 responden dewasa di 22 negara (termasuk Malaysia), mendapati 90 peratus responden percaya untuk menyelesaikan cabaran masyarakat yang mendesak, pemimpin perlu mempertimbangkan semua perspektif, malah yang bertentangan dengan perspektif mereka sendiri.
Selain itu, 88 peratus responden cenderung untuk mengundi pemimpin yang mendengar pendapat semua pihak dalam mencari solusi sesuatu masalah dan menggunakan pendekatan yang lebih wajar untuk mengurangkan kemudaratan.
Jadi jelas di sini, masyarakat kita sebenarnya bukan tidak mahu untuk berubah, tetapi kekangan penyelidikan dalam negara dan kurangnya pendedahan mengenai info tentang produk alternatif daripada sumber yang boleh diyakini menjadi penghalang buat mereka, khususnya perokok tegar.
Rokok alternatif pun ada nikotin, tak bahaya ke?
Kami yakin ada sahaja yang mempertikaikan penggunaan rokok alternatif sebagai salah satu cara untuk berhenti merokok. Apa yang anda perlu tahu mengenai produk alternatif ini ialah, ia bertujuan membantu mengurangkan kemudaratan, walaupun mempunyai kandungan nikotin yang menjadi punca ketagihan, sehingga hari ini tiada lagi kajian yang membuktikan nikotin menjadi punca utama penyakit yang berpunca daripada merokok.
Ini jelas berbeza dengan rokok tradisional, apabila lebih 6,000 bahan kimia terhasil daripada aktiviti pembakaran dan 80 daripadanya telah diklasifikasikan sebagai karsinogen, punca penyakit kanser. Tak takut ke?
Berbanding produk alternatif seperti HTP, produk ini hanya dipanaskan di bawah suhu 350°C. Disebabkan ia tidak membakar, ia cuma menghasilkan wap yang mengandungi nikotin dan tidak menghasilkan abu atau asap.
Beri ruang dan peluang kepada semua untuk berubah
Tindakan kerajaan menggubal dasar baru melalui Generational End Game merupakan satu usaha yang harus disokong, namun begitu janganlah sama sekali menganaktirikan perokok sedia ada dalam usaha membantu mereka untuk berubah.
Walaupun ada usaha yang dilakukan untuk membantu perokok tegar, kerajaan juga seharusnya lebih telus dalam usaha menyebarkan info mengenai produk alternatif sebagai salah satu cara mengurangkan kemudaratan dan mengiktiraf penggunaan produk alternatif sebagai salah satu cara untuk berhenti merokok.
If you do not smoke, DO NOT START.
If you smoke, QUIT.
If you do not quit, CHANGE.