Pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat enggan memberi komen lanjut mengenai insiden pergaduhan yang berlaku melibatkan adiknya, Fyna Jebat dan madunya iaitu isteri pertama kepada bekas jurulatih, Datuk Zainal Abidin Hassan.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada binti Jebat berkata dia hanya menyerahkan urusan itu kepada pihak polis untuk menjalankan tugas.
Bukan itu sahaja, penyanyi berusia 30 tahun itu turut memaklumkan bahawa adiknya tidak mahu memberi sebarang ulasan buat masa sekarang.
Saya mohon maaf, adik saya enggan beri sebarang ulasan kerana banyak hati yang harus dijaga. Atas nasihat polis, biar pihak bertanggungjawab menjalankan tugas.
Dalam pada itu, Ayda menghargai semua pihak yang mengambil berat terhadap adiknya dan memohon agar orang ramai memahami situasi yang sedang dialami Fyna atau nama sebenarnya Nur Syafinaz binti Jebat.
Saya berterima kasih kepada semua yang prihatin. Saya mohon orang faham situasi yang sedang berlaku serta menghormati Fyna dan semua pihak.
Sebelum ini, media melaporkan berlaku pertelingkahan antara kedua isteri kepada bekas jurulatih Liga Super di sebuah restoran di Shah Alam.
Difahamkan, punca pergaduhan adalah kerana isteri pertama berasa tersindir dengan kenyataan isteri kedua dalam sebuah program televisyen.
Malah, Isteri pertama turut memarahi madunya kerana mendakwa wanita itu telah berkahwin dengan suaminya tanpa pengetahuannya.