Penjawat awam di Selangor akan menerima bantuan khas kewangan sebanyak 2 bulan gaji dengan peruntukan sebanyak RM57.25 juta dari kerajaan negeri, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, pemberian bantuan khas itu bagi membantu penjawat awam membuat persediaan persekolahan anak.
“Sebagai menghargai kejayaan ini, kerajaan negeri bersetuju memberikan bantuan khas kewangan sebanyak 2 bulan gaji.
“Pembayaran satu setengah bulan dilakukan pada 1 Julai lalu. Untuk melengkapi bantuan khas kewangan tersebut, setengah bulan lagi akan dibayar pada 20 Disember untuk membantu penjawat awam membuat persediaan persekolahan anak,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Azmin berkata bantuan kewangan itu memberi implikasi kepada kerajaan negeri sebanyak RM57.25 juta.
“Pembayaran ini menggunakan peruntukan tahun ini dan dibayar tahun ini,” katanya.
Pada 2016, pembayaran bonus satu bulan setengah gaji itu melibatkan implikasi kewangan RM44.1 juta daripada belanjawan Selangor.