Seorang wanita ditahan kerana didakwa membunuh suaminya merupakan seorang jutawan yang pernah menulis buku dengan membayangkan dirinya sebagai Don Juan.
Menurut Japan Times, Saki Sudo, 25 mahu menjadi wanita terakhir dalam hidup suaminya dengan meracuni Kosuke Nozaki, 77 pada 2018 kira-kira tiga bulan selepas perkahwinan mereka.
Sudo didakwa membuat penyelidikan di Internet tentang bahan yang membuatkan seseorang maut sebelum menyuntik jutawan hartanah itu dengan sejenis racun selepas makan malam di rumah mereka di Tanabe.
Sementara itu, dilaporkan Nozaki berbangga dapat meniduri 4,000 wanita dan menulis buku berjudul ‘Don Juan of Wakayama’ pada 2016. Dia juga menyebut tujuannya mengumpul kekayaan menerusi hartanah, pertanian dan pinjaman wang itu bagi berjanji temu dengan wanita cantik.
Dalam sebuah buku ditulis pada 2018, Nozaki mendedahkan dia menemui seorang wanita dipercayai Sudo yang membantunya selepas terjatuh di lapangan terbang Tokyo.
Sudo yang tidak mendedahkan dia berkahwin dengan Nozaki, dilaporkan memberitahu keluarganya dia berpindah dari Sapporo untuk bekerja dengan rakannya yang menjalankan perniagaan hartanah.
Pada Mei 2018, Nozaki ditemui mati oleh Sudo di atas sofa di kediaman mereka sebelum polis mencurigai kematiannya apabila mengesan dadah dalam badan jutawan berkenaan.