Tindakan seorang wanita Muslim yang membuat siaran langsung di media sosial sambil minum air secara terbuka pada bulan Ramadan mengundang padah apabila dia ditahan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bagi membantu siasatan lanjut.
Menerusi video yang tular di platform TikTok, wanita berkenaan dilihat memaklumkan kepada orang ramai bahawa dia tidak berpuasa dan berasa bangga dengan tindakannya itu. Perbuatannya mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang menegur agar dia menghormati sensitiviti umat Islam sepanjang bulan Ramadan.

Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah, berkata pihaknya memandang serius kandungan video yang mula tular pada 23 Februari lalu. Menurut beliau, video tersebut memaparkan seorang wanita Muslim yang didakwa telah menghina atau mencela agama Islam menerusi tindakannya yang dilakukan secara terbuka.
Hasil siasatan mendapati pemilik akaun TikTok terbabit telah membuat siaran langsung pada Ahad sekitar jam 6.45 petang bagi berinteraksi bersama para pengikutnya. Ketika sesi tersebut berlangsung, wanita berusia 27 tahun itu didakwa makan dan minum secara terbuka walaupun dalam bulan Ramadan.
Menurut Mohd Asri lagi, wanita berkenaan ditahan di kediamannya di Kuala Pilah kira-kira jam 12 tengah hari pada Selasa sebelum dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS untuk tindakan lanjut. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 yang memperuntukkan kesalahan berkaitan menghina atau mencela agama Islam.
Bagaimanapun, selepas keterangannya direkodkan, wanita itu dilepaskan pada jam 10 malam pada hari yang sama.
JHEAINS turut menegaskan komitmen berterusan pihaknya dalam memastikan hal ehwal berkaitan umat Islam di Negeri Sembilan diurus secara tertib, berhikmah dan berlandaskan syariat serta undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
