Bulan Jun depan, Saharul Ridzwan dan isterinya, Deena Emir bakal menimang cahaya mata sulung mereka. Namun, pasangan ini enggan mengetahui jantina anak mereka dan mahu perkara itu menjadi kejutan. Ketika ini, kandungan Deena sudah memasuki lima bulan.
Ketika doktor melakukan proses imbasan lagi, dia sudah pun dapat melihat jantinanya. Namun tak mengapa, kami tidak mahu soal jantina menjadi penghalang kejutan. Sejujurnya, saya dan isteri tidak kisah pun mengenainya.
Apa yang saya dan isteri harapkan, semoga bayi sulung kami nanti dilahirkan cukup sifat dan sempurna, insya-Allah. Kami berdua juga tidak sabar menunggu kehadiran si kecil yang pastinya menjadi penyeri keluarga.
Baru-baru ini, Saharul dan Deena sempat untuk mengerjakan ibadah umrah bersama-sama. Berbicara mengenai pengalaman ke tanah suci bersama isteri tercinta, Saharul menyifatkan ia adalah satu kenangan manis yang tidak dapat dilupakan. Meskipun pergerakan isterinya agak terbatas kerana hamil, Deena cukup bersemangat untuk melakukan ibadah dengan sempurna.